Genap enam puluh tiga tahun Malaysia ditubuhkan pada hari ini. Penubuhannya berteraskan keyakinan bahawa kepelbagaian kita wajar dihargai, menyatukan pelbagai sejarah dan rakyat sebagai satu bangsa yang memanggil Malaysia “rumah”. Ia juga lahir daripada beberapa janji: perlindungan khas bagi rakyat Sabah dan Sarawak, di samping jaminan kebebasan asasi yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Hak asasi manusia bukanlah gagasan asing bagi Malaysia. Ia tertanam dalam dokumen penubuhan negara kita sejak awal lagi.

Kebebasan itu dimiliki oleh setiap insan di negara ini. Bukan milik satu komuniti lebih daripada komuniti yang lain, dan bukan pula diperoleh dengan mengorbankan hak komuniti lain. Itulah intipati dan reka bentuk hak asasi manusia, agar maruah seseorang tidak bergantung pada bilangan mereka. Apabila hak seorang rakyat Malaysia terjamin, tiada sesiapa pun yang akan kehilangan apa-apa. Hak bukanlah satu pertandingan sesama kita. Sebaliknya, ia merupakan tuntutan yang boleh dikemukakan terhadap Negara, bukan keistimewaan yang diberikan olehnya.

Hak asasi manusia memberikan tumpuan khusus kepada golongan rentan, iaitu mereka yang lazimnya paling awal kehilangan akses kepada pendidikan, kesihatan, dan mata pencarian, namun paling akhir didengari. Masyarakat Peribumi kita, iaitu Orang Asli, Anak Negeri, dan Orang Asal, serta kumpulan lain yang berada dalam keadaan terpinggir, memerlukan sokongan dan perhatian yang lebih. Suara serta penyertaan mereka dalam keputusan yang menjejaskan kehidupan mereka bukanlah sekadar budi baik. Dua deklarasi yang diterima pakai di Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober 2025, mengenai hak terhadap alam sekitar yang selamat, bersih, sihat dan lestari (ADER), serta mengenai hak untuk pembangunan dan hak untuk keamanan (ADDP) menegaskan yang berikut: pembangunan mestilah bersifat inklusif dan melibatkan penyertaan bermakna semua pihak, serta tidak meninggalkan sesiapa pun.

Perkara yang sama terpakai bagi keamanan. Ketiadaan konflik terbuka hanyalah separuh daripada ceritanya. Perkara 38 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) menegaskan hak setiap orang dan rakyat ASEAN untuk menikmati keamanan dalam rangka kerja keselamatan dan kestabilan, keberkecualian dan kebebasan, sebagai syarat penting bagi merealisasikan sepenuhnya hak asasi manusia yang lain. ADDP melangkah lebih jauh dengan mengaitkan kedua-dua hak ini: pembangunan yang berteraskan kesaksamaan, tanpa diskriminasi, dan penyertaan yang bermakna adalah asas kepada kestabilan dan kesejahteraan yang membawa kepada keamanan yang kukuh dan berkekalan.

Itulah keamanan dalam erti kata positifnya, dibina melalui dialog, pencegahan, dan akauntabiliti. Enam dekad kita hidup bersama, bukannya saling menentang, merupakan satu pencapaian yang nyata. Namun, ia perlu terus dipupuk melalui usaha berterusan, bukan diwariskan.

Hak untuk pembangunan dan hak untuk menikmati keamanan merupakan hak-hak asasi manusia yang tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya mesti dipenuhi dengan cara yang menangani keperluan pembangunan dan alam sekitar generasi kini serta generasi akan datang secara saksama serta di mana setiap insan dapat menikmati keamanan dan turut merasai hasil pembangunan.

Semua ini tidak bermakna tanpa alam sekitar yang selamat, bersih, sihat, dan lestari. Hutan, sungai, dan pesisiran pantai kita dipegang secara amanah bagi generasi akan datang. Kita perlu melaksanakan ADER dengan lebih teguh, dan melindungi mereka yang bersuara demi mempertahankan tanah mereka, tanah kita, Malaysia.

Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan. Malaysia adalah negara pihak kepada tiga daripada sembilan perjanjian teras hak asasi manusia antarabangsa, dan jurang ini masih boleh dirapatkan. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), melalui kerja kerasnya yang tidak pernah jemu, telah mengemukakan pelbagai syor sepanjang tahun dan kita wajar bertindak ke atasnya. Undang-undang yang lapuk dan bercanggah dengan hak asasi manusia perlu diperbaharui. Status kanak-kanak yang tidak sewajarnya menjadi individu tanpa kerakyatan dapat kita selesaikan. Layanan yang bermaruah bagi pekerja migran dapat kita jamin.

Hari Malaysia ini mengingatkan kita bahawa untuk setiap generasi dan dalam setiap cabaran baru, kita ditugaskan untuk terus memastikan hak asasi manusia yang telah kita perjuangkan kekal dimenangi, atau memperjuangkannya semula.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, Selamat Hari Malaysia!


The English version of this statement is accessible here.