


Hari ini genap 75 tahun sejak Konvensyen Pelarian 1951, yang berlandaskan satu asas yang mudah: tiada sesiapa pun harus dinafikan keselamatan selepas melarikan diri daripada perang, keganasan atau penganiayaan. Asas itu terus diuji di seluruh rantau kita, di mana Asia Tenggara menempatkan populasi pelarian yang besar dan semakin meningkat. Bagi kebanyakan orang, pemindahan secara paksa menjangkau generasi. Kanak-kanak dilahirkan tanpa kerakyatan, keluarga hidup tanpa masa depan yang stabil, dan laporan mengenai perpisahan keluarga dan penahanan tanpa tempoh tetap — termasuk kanak-kanak — kekal amat membimbangkan.
Kami* menyeru Negara-Negara Anggota ASEAN untuk bergerak ke arah alternatif kepada penahanan, mengiktiraf bahawa langkah-langkah berasaskan komuniti dan bukan tahanan lebih baik dalam melindungi kebajikan dan maruah pelarian berbanding penahanan tanpa tempoh tetap, sambil tetap membolehkan negara-negara mengurus pergerakan secara bertanggungjawab. Kejelasan undang-undang serta akses kepada pekerjaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan memberikan pemindahan secara paksa suatu struktur yang boleh diurus dan bukannya membiarkannya tanpa ketentuan.
Untuk lebih jelas, tiada satu pun daripada perkara ini meminta negara-negara tuan rumah memberikan kewarganegaraan, mahupun pelarian menuntutnya. Perlindungan bukanlah suatu tuntutan untuk menjadi ahli tetap dalam masyarakat tuan rumah; ia merupakan suatu tuntutan keselamatan sehingga kepulangan menjadi mungkin, atau sehingga penyelesaian berkekalan ditemui di tempat lain. Pengiktirafan perbezaan ini seharusnya meredakan, bukan meningkatkan, kebimbangan awam berhubung penerimaan komuniti-komuniti pelarian.
Kami sama-sama bimbang dengan peningkatan ucapan kebencian dan maklumat salah yang menyasarkan komuniti-komuniti pelarian di seluruh rantau ini. Menangani perkara ini memerlukan lebih daripada sekadar sekatan — ia memerlukan pendidikan awam yang aktif. Negara-negara, media, masyarakat sivil dan pendidik kesemuanya mempunyai peranan dalam membantu orang ramai memahami siapakah pelarian, mengapa mereka melarikan diri, serta apakah yang diperlukan dan tidak diperlukan dalam menerima mereka. Empati dan simpati yang berasaskan pemahaman yang tepat dan bukannya ketakutan, merupakan asas kepada kewujudan bersama yang mampan dan aman. Platform media dan media sosial memikul tanggungjawab khusus untuk melaporkan dengan tepat dan mengelakkan daripada memperluaskan perpecahan, manakala undang-undang sedia ada terhadap hasutan dan diskriminasi mestilah dikuatkuasakan secara konsisten dan nyata.
Beban ini tidak boleh diletakkan pada negara-negara tuan rumah sahaja. Negara asal, termasuk Myanmar, memikul tanggungjawab utama untuk menamatkan penganiayaan yang mendorong pemindahan secara paksa dan membolehkan kepulangan yang selamat, sukarela dan bermaruah.
Pada masa yang sama, negara-negara maju mesti memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar. Sudah terlalu lama, beban paling berat untuk menerima, melindungi dan menyediakan keperluan kepada pelarian telah jatuh kepada negara-negara jiran dan negara-negara barisan hadapan yang mempunyai sumber paling sedikit untuk berbuat demikian, manakala negara-negara yang lebih kaya menawarkan pernyataan solidariti yang jarang diterjemahkan kepada tindakan. Tempat-tempat penempatan semula yang bermakna, pembiayaan yang mampan dan boleh diramal untuk komuniti-komuniti tuan rumah, serta penglibatan diplomatik yang tulen untuk menyelesaikan punca-punca asas merupakan tanggungjawab, bukan pilihan. Retorik semata-mata tidak dapat melindungi sebuah keluarga, mendidik seorang anak, atau merawat seseorang yang sakit. Negara-negara maju mesti memadankan komitmen mereka dalam kerjasama antarabangsa dengan tindakan sebenar yang boleh diukur, dan bukannya membiarkan mereka yang paling rentan di dunia dijaga oleh negara-negara yang paling kekurangan sumber.
Asas kepada semua ini ialah prinsip non-refoulement, yang mengikat semua negara di bawah undang-undang adat antarabangsa, tanpa mengira status perjanjian.
Tujuh puluh lima tahun kemudian, premis pengasas Konvensyen Pelarian 1951 masih terpakai: setiap orang berhak hidup bermaruah, dan tiada sesiapa pun harus hidup dalam ketakutan.
Bertarikh pada 20 Jun 2026
* T.Y.T. Anita Ashvini Wahid ialah wakil Indonesia ke AICHR, T.Y.T. Edmund Bon Tai Soon ialah wakil Malaysia ke AICHR, dan T.Y.T. Dr. Bhanubhatra Jittiang ialah wakil Thailand ke AICHR.


