Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Mahani Ishak | Berita Harian

Malaysia menghargai usaha berterusan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dalam merangka dua deklarasi baharu yang menekankan keperluan mendesak dalam melindungi komuniti rantau ini dalam aspek alam sekitar dan pembangunan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata dua deklarasi yang sedang dirangka itu adalah ‘Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan’ dan ‘Deklarasi mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan, ke Arah Merealisasikan Pembangunan Inklusif dan Mampan’.
“Malaysia mengalu-alukan usaha berterusan AICHR dalam merangka dua deklarasi penting ini.
“Deklarasi ini menekankan kepentingan dan keperluan mendesak untuk rakyat kita, terutama golongan yang terdedah kepada kemudaratan alam sekitar, ketidaksamarataan dan ketidakstabilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.
‘Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan’ adalah kerangka serantau yang bertujuan mewujudkan dan mempromosi hak alam sekitar dalam rantau ASEAN.
Ia dirangka berasaskan pengiktirafan bahawa alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan adalah satu hak asasi manusia sejagat dan bertujuan membimbing negara anggota ASEAN dalam memperkukuh tindakan serta kebertanggungjawaban mereka berkaitan hak berkenaan.
‘Deklarasi mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan, ke Arah Merealisasikan Pembangunan Inklusif dan Mampan’ pula adalah komitmen ASEAN untuk memastikan pembangunan yang adil, saksama dan berkelanjutan di rantau ini.
Ia menekankan kepentingan hak asasi manusia, termasuk hak untuk pembangunan dan keamanan dalam mencapai tujuan berkenaan.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1417284/malaysia-sokong-usaha-aichr-bangunkan-2-deklarasi-penting-berkait. Diarkibkan di https://perma.cc/HT6X-UDSV


