Oleh Utusan Malaysia


Masyarakat di negara ini disaran menggunakan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (ADHR) bagi kerja-kerja advokasi dalam menegakkan hak asasi mereka.

Wakil Malaysia di Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon berkata, deklarasi tersebut dapat membantu mencapai matlamat pembangunan lestari negara (SDG).

“Masih ramai yang belum sedar mengenai kepentingan deklarasi ini bagi mencapai pembangunan dan menegakkan hak asasi mereka malah mengkritik deklarasi tersebut sebagai perjanjian hitam putih di atas kertas semata-mata.

“ADHR sebenarnya telah mencapai piawaian yang tinggi setaraf dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR),” katanya ketika ditemui selepas program debat belia hak asasi manusia AICHR di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Menurut Edmund, masyarakat perlu diberikan pendedahan mengenai prinsip-prinsip deklarasi itu melalui pendidikan mahupun program-program debat serta forum bermula di peringkat universiti lagi.


Sumber: https://www.facebook.com/share/1Bamqf2Qrh. Diarkibkan di https://perma.cc/MU5F-H3PA