Pada pandangan sesiapa pun baru-baru ini, negara kita seolah-olah sedang berkapai-kapai dari satu krisis ke krisis yang lain.

Menurut sesetengah pihak, satu pemerintahan berunsur dictator sedang mengelubungi kita; bagi sesetengah pihak lain pula, hampir 50% daripada seluruh populasi ataupun dalam erti kata lain, keseluruhan agama dan bangsa kaum majoriti sedang diancam dan tidak dihormati setiap hari.

Berdasarkan latar belakang ini, jelas terdapat suatu elemen yang bertindak sebagai insentif yang cukup dari sudut hak-hak asasi untuk menyatupadukan kita semua.

Semua pemimpin-pemimpin politik, pegawai kerajaan, dan rakyat yang bangga dengan pencapaian Malaysia dan komited untuk mencapai kemajuan yang lebih bermakna, dalam bidang kesihatan, pendidikan, serta hak-hak pekerja seharusnya menyokong langkah Malaysia untuk menandatangani Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR) dengan serta-merta.

Perjanjian-perjanjian “kabur” di Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Pada tahun 1995, Malaysia telah memberi persetujuan dan menandatangani Kovenan Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women [CEDAW]).

Pada tahun 2011, Mahkamah Tinggi Malaya telah membuat keputusan yang memihak kepada Noorfadilla Ahmad Saikin, yang telah ditamatkan servisnya sebagai seorang guru sementara apabila beliau mengandung.

Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Datuk Zaleha Yusof telah merujuk kepada provisi-provisi CEDAW dan memutuskan bahawa keengganan untuk mengambil kerja seorang wanita kerana beliau mengandung adalah merupakan diskriminasi dan oleh itu tidak sah dari sisi undang-undang keperlembagaan di bawah Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan.

Noorfadilla telah diberi RM300,000 gantirugi dan lebih lagi sebagai pampasan.

Penggunaan CEDAW sahaja tidak mungkin dapat menjayakan hujahan tersebut di Mahkamah. Bukankah interpretasi ini merupakan refleksi sebenar budaya kita untuk memberi layanan yang saksama kepada kaum wanita dan di mana nilai cinta terhadap keluarga merupakan akar umbi kepercayaan dan budaya kita?

Interaksi masyarakat dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang termaktub di dalam kovenan-kovenan antarabangsa adalah interaksi yang dinamik, di mana kedua-duanya menentang dan mencari sokongan sesama sendiri.

Kementrian Pendidikan mungkin akan kecewa dengan keputusan tersebut, tetapi ia merupakan satu kejayaan pula bagi Kementrian Wanita, Keluarga dan Komuniti.

Pemberian geran dan penajaan kempen untuk mendorong lebih kaum wanita untuk menyertai pasaran kerja adalah merupakan inisiatif yang bagus tetapi harus dipraktikkan di seluruh negara.

Oleh yang demikian, sebagaimana kita telah memberi makna kepada CEDAW, kita juga cukup sedia untuk memberi persetujuan dan menandatangani ICESCR.

Apakah maksudnya?

Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights [UDHR]) telah diterima pakai di PBB pada tahun 1948, dan telah menegakkan dua kategori utama berkaitan hak-hak, iaitu (i) hak sivil dan politik, dan (ii) hak ekonomik, sosial dan kebudayaan.

Hak-hak ini sepatutnya diimplementasi oleh negara-negara yang menandatangani Kovenan Antarabangsa berkaitan Hak-hak Sivil dan Politik (International Covenant on Civil and Political Rights [ICCPR]) dan Kovenan Antarabangsa berkaitan Hak-hak Ekonomik, Sosial dan Kebudayaan (International Covenant on Economic, Social, and Cultural Rights [ICESCR]), masing-masing. 

ICESCR telah diterima pakai di PBB pada tahun 1966 dan telah dikuatkuasakan pada tahun 1976. Sebanyak 164 buah negara telah pun menandatangani dan mengesahkan ICESCR dan enam lagi buah negara telah menandatangani tetapi belum mengesahkannya lagi.

Malaysia merupakan satu daripada 27 buah negara yang belum lagi mengambil sebarang tindakan.

Secara ringkasnya, ICESCR menyeru para penandatangan untuk memastikan bahawa semua insan dapat menikmati secara saksama hak-hak ekonomik, sosial dan kebudayaan seperti yang tertera di dalam Kovenan. Ini termasuklah hak untuk:

  • mencari rezeki, termasuk ketersediaan program-program latihan teknikal dan vokasional, persekitaran kerja yang saksama dan selamat, gaji yang sama rata bagi kerja yang dibuat dan keupayaan untuk menubuhkan kesatuan kerja;
  • jaminan sosial, termasuk insurans sosial;
  • kehidupan keluarga, termasuk cuti khas untuk para ibubapa dan perlindungan untuk ibu dan kanak-kanak;
  • standard kehidupan yang memadai, dengan bekalan makanan yang mencukupi, bekalan pakaian dan juga perumahan yang mencukupi serta berpatutan;
  • kesihatan, harus mencapai standard yang tertinggi dalam aspek kesihatan fizikal dan mental;
  • pendidikan, provisi untuk mewajibkan pendidikan asas, dan terdapatnya ketersediaan serta akses kepada pendidikan tinggi; dan
  • penglibatan dalam kehidupan seharian yang berbudaya dan keupayaan untuk menikmati manfaat-manfaat daripada perkembagan dan kemajuan saintifik.

Jika kita bertanya rakyat biasa untuk mengambarkan hak-hak asasi manusia, kemungkinan besar mereka akan menyebut hak-hak sivil dan politik; jika kita bertanya pula tentang kebimbangan hariannya buat masa sekarang, kemungkinan besar mereka akan menerangkan tentang kos sara hidup, hal pendidikan anak-anak, kos kesihatan, kos perumahan dan sebagainya.

Hal-hal inilah yang termaktub di dalam ICESCR.

Hak asasi manusia sering dianggap sebagai keupayaan untuk bersuara secara terbuka terutamanya dalam bentuk satu rusuhan jalanan, tetapi itu merupakan satu salah tanggapan kerana negara-negara Barat sering menekankan hak-hak sivil dan politik dalam dasar luar negaranya yang ditujukan ke arah negara-negara membangun, hingga menyebabkan sesetengah orang biasa melihat “hak asasi manusia” dengan penuh syak wasangka dan sebagai sesuatu yang mempunyai nilai asing serta merupakan alat bagi peluang campur tangan yang tidak diingini.

Pelanggaran hak-hak tersebut juga sering kali dilakukan dengan teruk sehingga memerlukan kritikan yang serta-merta dan berprofil tinggi.

Pihak-pihak NGO pula tidak memberi perhatian yang wajar terhadap hak-hak ekonomik, sosial dan kebudayaan, kerana hak-hak ini sukar untuk dipantau dan diimplementasikan sebab ciri-ciri hak-hak ini mempersoalkan peruntukkan sumber kerajaan.

Pihak NGO tidak akan menerima sokongan dana yang mencukupi kerana isu-isu ini tidak la semenarik jika dibandingkan dengan protes secara besar-besaran terhadap kerajaan.

Sebenarnya, kedua-dua kategori hak-hak ini samada hak sivil dan politik, atau hak ekonomik, sosial dan kebudayaan, semestinya dilihat sebagai kembar siam: Satu tidak boleh maju dan berkembang dengan jayanya apabila yang satu lagi sedang diabaikan dan dalam keadaan memudaratkan.

Mengapa ICESCR harus ditandatangani?

Tiada kerugian, mahupun faedah yang signifikan.  

Pertama sekali, Malaysia mengiktiraf dan memenuhi hak-hak ekonomik, sosial dan kebudayaan dalam pelbagai keadaan, walaupun dalam darjah yang berbeza.

Undang-undang kita berkaitan pendidikan, bidang kesihatan, jaminan sekuriti, hak pekerja dan sebagainya sebenarnya wujud, cuma tidak diamalkan sepenuhnya.

Langkah menandatangani ICESCR mendukung harapan untuk mendorong penambahbaikkan dalam aspek-aspek yang kita tidak dapat menepati, melalui pembaharuan peraturan dan perundangan, penguatkuasaan yang lebih baik, dan bantuan dan kerjasama pada peringkat antarabangsa.

Menurut Bank Dunia, Malaysia merupakan salah satu daripada 13 buah negara yang dikenalpasti oleh Commission on Growth and Development sebagai negara yang mempunnyai perkembangan purata yang melebihi 7% setahun untuk 25 tahun berturut-turut.

Ini termasuk perkembangan ekonomi yang inklusif, kerana Malaysia hampir berjaya membasmi kemiskinan: pecahan isi rumah yang tinggal di bawah garis kemiskinan nasional – USD8.50 (RM36.63) sehari pada tahun 2012, jatuh daripada 50% dalam 1960-an kepada kurang daripada 1% pada hari ini.  

Jika kita sudahpun mencapai matlamat-matlamat yang digariskan dalam ICESCR, mengapa kita tidak mahu dilihat pada peringkat antarabangsa sebagai berbuat demikian dan berbangga dengan apa yang telah dicapai atau sedang dicapai?

Keduanya, ICESCR tidak memerlukan pencapaian dan implementasi penuh hak-hak yang termaktub dalamnya. Setiap penandatangan berjanji untuk “mengambil langkah….. sepanjang tersedia sumber dayanya, untuk secara progresif mencapai perwujudan penuh hak-hak yang diakui oleh Kovenan ini”.

Kovenan ini juga membenarkan penandatangan membuat  batasan kepada hak-hak tersebut sejauh mana ia mungkin menjadi “sesuai dengan ketentuan hukum, sepanjang hal ini sesuai dengan sifat hak-hak tersebut, dan semata-mata dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan umum dalam suatu masyarakat demokratik”.

Pemahamanya ialah negara pihak sepatutnya bebas untuk memutuskan sumber dananya tetapi ia harus menepati  semangat ICESCR dan prinsipnya.

Ketiga, kemungkinan besar Malaysia akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement [TPPA]) pada tahun depan, dan dalam usaha kita untuk mencapai Wawasan 2020, adalah bagus untuk pihak kerajaan memberi jaminan kepada rakyat jelata bahawa hak-hak social dan ekonomik akan terpelihara dan dilindungi sejajar dengan usah kerajaan untuk mencapai status negara maju.

Pembangunan ekonomi yang pesat dan kuasa pasaran bebas telah mengakibatkan ketidaksamaan pendapatan dengan jurang yang besar dan kemiskinan yang berterusan di kebanyakan negara, serta telah meluaskan pembahagian sosial dan krisis politik.

Sekarang kita tahu bahawa kita memerlukan campur tangan yang berterusan daripada pihak kerajaan untuk mengatasi kuasa-kuasa ekonomi ini.

Tambahan pula, sebagai pemain utama di ASEAN dan negara di mana majoriti penduduknya beragama Islam wasathiyah, Malaysia boleh menjadi teladan yang berpengaruh untuk negara lain di rantau ini.

Namun begitu, kita hanya telah menandatangani enam daripada 18 perjanjian hak asasi manusia antarabangsa.

Siapa dan bagaimana?

Pertama sekali, jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan perlu mengkaji dan mencadangkan bahawa Malaysia menndatangani dan mengesahkan ICESCR dengan secepat mungkin.

Jabatan Peguam Negara atau Pejabat Perdana Menteri perlu memainkan peranan utama dalam rundingan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam inisiatif ini.

Keduanya, ahli-ahli Parlimen kita sepatutnya menggalakkan dan menyokong supaya Malaysia menandatangani ICESCR.

Ketiga, rakyat jelata, terutamanya pelajar, belia dan NGO-NGO, harus menulis surat kepada Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen untuk melobi bagi tindakan pantas ke arah menandatangani ICESCR.

Sejak kebelakangan ini, hak asasi manusia, terutamanya hak-hak sivil dan politik, sentiasa dipertandingkan dengan hangat.

Namun begitu, sejak kemerdekaan, kerajaan dan rakyat kita sentiasa berusaha untuk menaikkan taraf hak-hak ekonomi, kesihatan, pendidikan, dan kebudayaan warga senegara. Semestinya ini merupakan matlamat bersama kita semua?

Jika kita berganding bahu, rakyat Malaysia boleh mencapai jauh lebih banyak.


Artikel ini merupakan terbitan istimewa National Human Rights Society (HAKAM) sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015. Versi Bahasa Inggeris artikel ini juga diterbit oleh Malay Mail. Diarkib di https://perma.cc/23UR-7HVX