Hak asasi manusia mesti menjadi teras utama dalam usaha mencapai keterangkuman dan kelestarian.

Pada hari ini, sempena Hari Hak Asasi Manusia, kita masih berdepan dengan realiti pahit di mana konflik ganas, jenayah terhadap kemanusiaan, dan pelanggaran hak asasi manusia secara meluas terus berlaku di seluruh Asia Tenggara. Lebih mengecewakan, persoalan mengenai pengaplikasian hak asasi manusia dan keperluan untuk memastikan akauntabiliti dalam isu ini kekal menjadi polemik yang belum menemui titik penyelesaian.

Pelanggar hak asasi manusia enggan membenarkan isu hak asasi manusia dibincangkan berkaitan dengan perbuatan mereka. Mereka merasa terancam oleh prinsip hak asasi manusia kerana ia akan menyebabkan mereka dipertanggungjawabkan. Justeru, mereka berusaha untuk menyekat penyebaran mesej hak asasi manusia dan bercuba untuk membungkam suara-suara yang memperjuangkannya.

Apabila Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) pada tahun 2025, dengan memberi keutamaan kepada keterangkuman dan kelestarian, kemajuan ekonomi tidak boleh dicapai dengan mengorbankan hak asasi manusia. Pertumbuhan ekonomi dan hak asasi manusia boleh saling melengkapi antara satu sama lain dan berkembang bersama.

Perniagaan mesti menghormati dan melindungi hak asasi manusia.

Keterangkuman menuntut agar suara golongan yang terdedah kepada risiko dan terpinggir didengari. Golongan ini termasuk wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya, masyarakat pribumi, Orang Asli, Orang Asal, pekerja migran, individu tanpa kewarganegaraan, pencari suaka, pelarian, etnik minoriti, agama, dan bahasa, pembela hak asasi manusia, serta pembela hak alam sekitar. Mereka adalah golongan yang sering dipinggirkan dan terkesan dengan ketara oleh operasi perniagaan. Mereka berhak untuk menyertai, memberi sumbangan, menikmati, dan memperoleh manfaat secara saksama daripada pembangunan ekonomi, sosial, budaya, dan politik.

Kelestarian menuntut agar setiap pembangunan memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan maruah, hak, dan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Pertumbuhan ekonomi mesti dicapai dengan impak yang minimum terhadap hak asasi manusia dan alam sekitar. Sehubungan itu, perniagaan mesti dipertanggungjawabkan apabila mereka gagal dalam hal ini atau tidak mampu atau tidak bersedia untuk bertindak secara bertanggungjawab. Pemulihan yang berkesan dan remedi untuk mangsa dan pemandiri perlu disediakan dan diperkasakan.

Secara keseluruhan, hak untuk pembangunan ekonomi, sosial, budaya, dan politik menuntut agar hak asasi manusia menjadi teras utama dalam mencapai keterangkuman dan kelestarian. Rakyat ASEAN berhak menerima tidak kurang daripada itu.

Selamat Hari Hak Asasi Manusia!

Edmund Bon Tai Soon
Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR)


Teks ucapan ini diterbit oleh Scoop dan Free Malaysia Today, masing-masing diarkibkan di sini dan sini.