T.Y.T. Edmund Bon Tai Soon
T.Y.T. Anita Ashvini Wahid
T.Y.T. Dr. Bhanubhatra Jittiang

Wakil-wakil hak asasi manusia* daripada Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) menyeru agar ASEAN mempercepatkan tindakan untuk memperkasakan orang kurang upaya untuk menyertai dalam, menyumbang kepada, menikmati dan mendapatkan manfaat yang saksama dan mampan daripada pembangunan ekonomi, sosial, budaya dan politik di rantau ini.

Hari ini, 3 Disember 2025, kami bersama-sama masyarakat antarabangsa memperingati Hari Orang Kurang Upaya Sedunia. Kami menghargai mereka yang telah memperjuangkan hak-hak orang kurang upaya, termasuk yang telah mempertaruhkan keselamatan diri demi mempertahankan hak-hak ini, dan mereka yang terus berjuang mempertahan sehingga hari ini. Kami berdiri bersama anda dan menyokong sepenuhnya usaha anda.

Tema tahun ini memberi tumpuan kepada pembinaan masyarakat yang inklusif terhadap orang kurang upaya bagi memacu kemajuan sosial. Tema ini menegaskan kepentingan matlamat pembangunan sosial yang menangani cabaran berterusan yang dihadapi oleh golongan orang kurang upaya. Cabaran ini merangkumi kemiskinan, diskriminasi dalam pendidikan dan pekerjaan, termasuk kadar gaji yang lebih rendah dan keterwakilan yang tinggi dalam sektor tidak formal, serta sistem perlindungan sosial yang tidak menyempurna dan sering kali tidak mencukupi untuk menampung kos tambahan berkaitan ketidakupayaan, khususnya bagi mereka yang dalam sektor tidak formal. Ramai orang kurang upaya juga masih berdepan dengan penafian terhadap maruah, autonomi, dan keupayaan diri dalam sistem penjagaan dan sokongan.

Tiga tonggak utama pembangunan sosial – pembasmian kemiskinan, penggalakan pekerjaan penuh dan produktif serta kerja yang layak untuk semua, dan integrasi sosial – adalah saling berkaitan dan saling mengukuhkan antara satu sama lain. Kesemuanya ini memerlukan persekitaran yang membolehkan agar dapat dicapaikan secara serentak dan mampan.

Semua Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS) telah meratifikasi Konvensyen Tentang  Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pelan Induk Pengupayaan ASEAN 2025: Pengarusperdanaan Hak-Hak Orang Kurang Upaya (EMP) telah mendorong kemajuan yang ketara dalam menyelaraskan undang-undang, dasar-dasar, dan langkah-langkah nasional dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, serta dalam merealisasikan piawaian ini di peringkat domestik.

Bagaimanapun, jurang dalam pelaksanaan masih wujud. Mekanisme perlindungan perlu diperkukuh; koordinasi dan pemantauan di antara tonggak dan sektor ASEAN perlu ditingkatkan; dan tindak balas mesti disesuaikan dengan lebih tepat mengikut keperluan spesifik dan hak-hak orang kurang upaya yang mempunyai ketidakupayaan berbeza, dengan menyedari bahawa tiada pendekatan “satu saiz untuk semua” yang sesuai.

Kami menegaskan semula komitmen yang diperbaharui oleh AMS dalam Deklarasi ASEAN mengenai Penggalakan Hak untuk Pembangunan dan Hak untuk Keamanan ke arah Merealisasikan Pembangunan Inklusif dan Mampan yang baru diterima pakai. Deklarasi ini menegaskan hak setiap individu dan seluruh rakyat ASEAN untuk menyertai dalam, menyumbang kepada, menikmati dan mendapatkan manfaat yang saksama dan mampan daripada pembangunan ekonomi, sosial, budaya, dan politik. Ia menekankan bahawa inklusiviti dan kelestarian adalah asas penting bagi merealisasikan hak untuk pembangunan dalam semua dimensinya – ekonomi, sosial, budaya, politik, dan alam sekitar. Rakyat ASEAN, termasuk orang kurang upaya, diiktiraf sebagai pelaku utama pembangunan, baik sebagai ejen mahupun sebagai penerima manfaat. AMS telah komited untuk menghapuskan halangan kepada pembangunan inklusif dan mampan, termasuk cabaran kepada akses saksama terhadap perkhidmatan asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan, perumahan, pengangkutan, teknologi digital, penguatkuasaan undang-undang, dan pekerjaan, serta memastikan agihan pendapatan yang adil. AMS juga berikrar untuk menghapuskan diskriminasi dan menangani ketidaksamaan untuk memastikan bahawa semua individu dapat menyertai secara bermakna dalam pembangunan ASEAN.

Penglibatan orang kurang upaya baik sebagai ejen mahupun penerima manfaat dalam pembangunan sosial adalah amat diperlukan. Inklusi orang kurang upaya adalah suatu keperluan yang mesti dipenuhi dalam semua aspek kehidupan – ekonomi, sosial, budaya, politik, dan alam sekitar.

Bagi fasa EMP seterusnya, kami menyeru ASEAN agar mengekalkan momentum dengan memperbaharui dan menyegarkan semula EMP bagi tempoh lima tahun akan datang, selaras dengan ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama. Secara khususnya, kami mencadangkan agar ASEAN:

  • Memperkukuh platform serantau berperingkat tinggi untuk melaporkan kemajuan pelaksanaan EMP dan CRPD, memastikan pemantauan konsisten, meningkatkan pengumpulan data, dan memudahkan penglibatan masyarakat sivil dengan lebih berkesan.
  • Menambah bilangan pakar dalam bidang ketidakupayaan dan hak asasi manusia bagi memaklumkan pembuatan dasar berasaskan bukti.
  • Menubuhkan kumpulan kerja pakar antara sektor, menambah baik mekanisme rujukan, dan menggunapakai pendekatan kajian kes untuk memperdalam pembelajaran serta memaklumkan dasar serta amalan.
  • Membangunkan protokol respons pantas bagi perkongsian pengetahuan dan penyelarasan dalam situasi kecemasan dan krisis, dengan pakar-pakar teknikal dan sektor ASEAN bersedia memberikan khidmat nasihat dan panduan teknikal, taklimat, dan konsultasi sulit bagi menyokong AMS mengikut keperluan.
  • Mewujudkan, melalui seorang titik penyelaras, saluran atau laluan khusus bagi orang dan komuniti rentan dan terpinggir, termasuk orang kurang upaya, untuk mengakses badan-badan ASEAN dan AMS bagi akses kepada keadilan dan remedi.
  • Menerbitkan Laporan Hak Asasi Manusia ASEAN setiap tahun untuk mendokumentasikan pencapaian, kemajuan, dan cabaran berterusan ASEAN berhubung isu-isu orang kuran upaya.
  • Menangani keperluan spesifik dan hak-hak orang kurang upaya yang mempunyai ketidakupayaan berbeza secara lebih bersasar dan terperinci.

Kami akan terus menyokong pengukuhan mekanisme serantau bagi memajukan kesejahteraan, maruah dan kebebasan rakyat ASEAN.

Selamat Menyambut Hari Orang Kurang Upaya Sedunia! Mari kita meneruskan perjuangan ini setiap hari!


* T.Y.T. Edmund Bon Tai Soon ialah Wakil Malaysia ke AICHR dan Pengerusi AICHR (2025), T.Y.T. Anita Ashvini Wahid ialah Wakil Indonesia ke AICHR dan T.Y.T. Dr. Bhanubhatra Jittiang ialah Wakil Thailand ke AICHR.