Persekutuan Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1963. Terdahulu, Malaya telah mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, dan kemudiannya Malaysia bersama-sama dengan negara-negara jirannya telah membentuk Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 1967.
ASEAN telah menunjukkan keazamannya bahawa ia akan menjadi sebuah komuniti yang berasaskan undang-undang, dan yang berorientasi dan berpaksikan rakyat. Pada tahun 2012, Negara-Negara Anggotanya telah menandatangani Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) yang mengesahkan kesemua hak-hak sivil dan politik, dan hak-hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, selaras dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Dalam konteks ini, Negara-Negara Anggota ASEAN telah memberikan komitmen untuk mempromosi dan melindungi hak-hak dan kebebasan asasi manusia kepada semua rakyat di rantau ini dengan berpaksikan kedaulatan undang-undang.
Dalam pada kita menyambut ulangtahun ke-53 penubuhan Malaysia, marilah kita bersama-sama mengingati bahawa Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menyediakan suatu kerangka domestik yang berasaskan hak asasi manusia yang merangkumi, antara lain, hak-hak dalam kehidupan dan kebebasan, pergerakan, bersuara, berhimpun, berpersatuan, beragama dan pemilikan harta. Malaysia komited untuk menghormati, menegakkan dan melindungi hak-hak tersebut. Hak-hak tersebut juga perlulah diamalkan dengan penuh bertanggungjawab mengikut lunas undang-undang. Oleh itu, dalam menentukan hala tuju masa depan kita bersama, Perlembagaan Persekutuan dan AHRD berfungsi untuk membantu kita dalam menangani cabaran-cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah negara.
Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) kini sedang giat dengan tugasnya dalam menggalakkan Negara-Negara Anggota ASEAN untuk meratifikasikan triti-triti antarabangsa berkenaan hak asasi manusia, mendapatkan maklumat daripada Negara-Negara Anggota mengenai usaha-usaha yang diambil dalam mempromosi dan melindungi hak-hak asasi manusia, dan membina pendekatan bersama berkenaan hal-hal hak asasi manusia yang berkepentingan kepada ASEAN. Oleh itu, kita mestilah bersikap terbuka apabila melihat pelbagai kekangan atau kelemahan yang mungkin perlu diberi perhatian daripada perspektif hak asasi manusia. Dalam konteks ini, kita perlulah melihat usaha-usaha yang dilaksanakan oleh AICHR ini secara positif. Hanya dengan semangat seperti inilah, ASEAN akan dapat melangkah dengan lebih tangkas ke hadapan dalam membentuk kesepakatan politik, ekonomi dan sosial serantau yang bermanfaat kepada warganya, dan yang mampu menangani masalah yang bakal muncul akibat perubahan landskap global yang amat pesat.
Dalam meraikan Hari Malaysia yang sangat istimewa ini, kita juga perlulah menghargai pengorbanan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat yang telah memberikan sumbangan kepada pembangunan pesat Malaysia, dan memuliakan mereka dengan berusaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih bersatu padu dan berdaya maju. Kita mesti terus menegakkan kedaulatan undang-undang dan membina suatu persekitaran yang sesuai bagi membolehkan hak-hak asasi manusia dan kebebasan asasi dihormati, dinikmati, dilindungi dan dipenuhi secara saksama untuk seluruh rakyat Malaysia. Sebagai sebuah negara, kita telah mengecapi pelbagai saat manis, yang mutakhir sekali menerusi aksi-aksi hebat oleh atlit-atlit negara di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Rio. Malaysia yang kita impikan, seperti juga ASEAN, adalah suatu “work in progress”. Kesemua kita rakyat Malaysia, walaupun bermula dari tempat dan sudut pandangan yang berbeza, perlulah berusaha untuk membuka saluran-saluran komunikasi baru yang konstruktif, dan mendukung visi matlamat dan kemajuan yang sama.
Kenyataan akhbar ini diterbitkan oleh AICHR Facebook, dan diarkibkan di sini.
The English version is available here.

