By S Pathmawathy | Malaysiakini


Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Arman Alies hari ini mengakui bahawa beliau marah apabila disoal berulang kali oleh peguam Majlis Peguam berhubung kelakuan dan tindakannya.

Dalam keterangannya kepada Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock, penolong penguasa SPRM itu berkata cara Edmund Bon menyoalnya, semalam  menimbulkan kemarahan kepadanya.

Pesuruhjaya Dr Mohamed Hatta Shaharom, seorang perunding psykitrik forensik kemudiannya bertanya kepada Arman sama ada beliau sering kali marah-marah.

Arman: Saya marah apabila dalam bersukan, orang cuba mencederakan saya. Saya marah apabila diganggu tanpa sebab.

Mohamed Hatta: Sejak dua setengah hari lalu, berapa kali awak terasa ingin marah?

Arman: Apabila saya diserang secara peribadi dan apabila soalan ditanya berulang-kali.

Sambil menuding jarinya ke arah Bon, saksi itu berkata dia “marah” kepada peguam itu berhubung cara beliau menyoalnya semalam dalam siasatan berhubung diari.

Bon mengasak Arman supaya tidak menyembunyikan apa-apa daripada panel itu apabila disoal berhubung siasatan diari berkenaan.

Mengikut peguam berkenaan terdapat percanggahan dalam diari-diari tersebut dengan catatan yang berbeza.

Arman berkata beliau menulis diari pertama beberapa hari selepas Teoh dijumpai mati manakala diari kedua pula ditulis kira-kira setahun selepas itu.


Source: https://www.malaysiakini.com/news/158644