Oleh Hidir Reduan Abdul Rashid | Malaysiakini


Pihak berkuasa imigresen Malaysia menarik balik perintah pengusiran terhadap ahli politik pembangkang Bangladesh MA Quayum, yang menegaskan bahawa nyawa dan keselamatannya akan terancam jika dihantar pulang ke tanah airnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini merekodkan penghakiman persetujuan antara Quayum dan Menteri Dalam Negeri serta tiga lagi responden.

Prosiding di hadapan hakim K. Muniandy hari ini pada mulanya ditetapkan untuk permohonan habeas corpus Quayum terhadap dakwaan penahanannya yang menyalahi undang-undang.

Menurut salinan penghakiman persetujuan, pihak berkuasa Malaysia bersetuju membatalkan perintah bertarikh 24 Jan bagi penangkapan dan pengusiran Quayum.

Pihak berkuasa juga bersetuju membenarkan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu ditempatkan semula di negara lain.

Ketua Pengarah Imigresen dan tiga responden lain iaitu Ketua Polis Negara (IGP), Menteri Dalam Negeri, dan kerajaan Malaysia — bersetuju untuk tidak menahan atau menghantar pulang Quayum dan keluarganya sementara menunggu keputusan di negara lain.

Antara syarat persetujuan itu ialah ahli politik pembangkang yang juga pelarian itu dan keluarganya meninggalkan Malaysia serta-merta apabila berjaya diterima di negara lain.

Satu lagi syarat dalam keputusan persetujuan itu ialah Quayum menarik balik tindakan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penghakiman persetujuan itu juga menyebut bahawa Quayum boleh membuat satu lagi permohonan di bawah Malaysia My Second Home (MM2H) jika kerajaan Bangladesh mengembalikan pasport pelariannya.

Quayum yang diwakili peguam Edmund Bon menjadi pelarian di Malaysia sejak 2015 di bawah program MM2H.

Bagaimanapun, pada 12 Jan lepas, dia ditahan dalam operasi bersama polis Malaysia dan Perisikan Keselamatan Negara Bangladesh di kediamannya di Ampang.

Pertubuhan hak asasi manusia, SUARAM, sebelum ini mendakwa permintaan untuk penahanan Quayum adalah sebahagian daripada tindakan keras secara sistematik oleh kerajaan Bangladesh terhadap ahli politik pembangkang.


Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/707018