Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Harian Metro


Tengku Zafrul hari ini memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Muhyiddin di Mahkamah Tinggi. — FOTO BERNAMA

Mahkamah Tinggi hari ini, diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak campur tangan dalam proses penganugerahan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Dalam prosiding perbicaraan hari ini, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, 53, bersetuju dengan cadangan peguam bela Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad bahawa anak guamnya tiada campur tangan dalam perkara itu.

Tengku Zafrul yang menjawab soalan Amer Hamzah pada sesi pemeriksaan balas, juga disoal sama ada terdapat campur tangan perdana menteri dalam proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Jana Wibawa.

Saksi pendakwaan ke-11 itu menjawab, penilaian akan dibuat oleh jawatankuasa itu yang kemudiannya akan mengemukakan saranan bagi tindakan lanjut, manakala kelulusan akhir akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan.

Amer Hamzah: Dalam proses yang awak nyatakan ini, ada atau tidak campur tangan PM?

Tengku Zafrul: Berdasarkan pengetahuan saya, tiada.

Tengku Zafrul ketika membacakan pernyataan saksinya semalam berkata syarikat kejuruteraan dan pembinaan yang didakwa menyumbang RM800,000 kepada BERSATU, pada awalnya gagal dalam penilaian Kementerian Kewangan bagi program Projek Jana Wibawa sebelum akhirnya memperoleh kontrak bernilai RM62 juta

Beliau berkata, KCJ Engineering Sdn Bhd tidak melepasi penilaian pertama jawatankuasa, bagaimanapun lulus penilaian kali kedua dan disyorkan bagi projek itu berdasarkan keputusan jawatankuasa yang bermesyuarat pada 26 Februari 2021.

Menurut beliau, KCJ Engineering adalah antara 54 syarikat yang dicadangkan oleh perdana menteri ketika itu menerusi surat bertarikh 13 November 2020 bagi melaksanakan projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

Katanya, syarikat itu pada asalnya dicadangkan untuk melaksanakan projek bernilai RM100 juta bagi pembinaan jalan yang menghubungkan Felda Bukit Jalor dengan Gemas, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun katanya, selepas maklumat tambahan dikemukakan melalui Pejabat Perdana Menteri (PMO), syarikat itu menjalani penilaian kali kedua dan didapati telah memenuhi syarat yang diperlukan.

Sementara itu, Tengku Zafrul yang disoal balas Amer Hamzah berhubung perkara itu, bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada yang mencurigakan dalam keseluruhan proses oleh jawatankuasa terbabit.

Menurut Tengku Zafrul, ia adalah proses biasa penilaian dan ia turut dilalui oleh syarikat lain. dan bukannya KCJ sahaja.

Tengku Zafrul turut bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah Arshad bahawa setiap Minit Mesyuarat adalah bukan arahan dan beliau mengakui banyak menerima minit berkenaan daripada Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika dirujuk dengan dokumen ‘Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan 54 Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina)’ yang turut menyenaraikan nama-nama syarikat kontraktor.

Saksi penting pendakwaan itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada sebarang keterangan dikemukakan pihak pendakwaan yang menunjukkan Muhyiddin ada kepentingan peribadi atau kewangan dengan syarikat terbabit.

Ketika dicadangkan bahawa semua projek berkenaan tidak boleh dilaksanakan oleh seorang menteri sahaja, sebaliknya memerlukan kelulusan pihak berkuasa yang lebih tinggi, saksi menjawab, “Ya.”

Menurut Tengku Zafrul, terdapat keperluan untuk mewujudkan pakej rangsangan ekonomi bagi menjana peluang pekerjaan ketika pandemik COVID-19 dan beliau bersetuju semua projek berkenaan tidak boleh dilaksanakan seorang menteri sahaja.

Tengku Zafrul turut bersetuju bahawa kontraktor “terjejas teruk” ketika itu dan bantuan kepada mereka akan memberi “kesan limpahan” (trickle-down effect) kepada ekonomi.

“Anda dapat melihat masalah yang dihadapi oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Bumiputera dan kontraktor serta keseluruhan ekosistem.

“Berdasarkan kepentingan dan kebimbangan itu, sebab itulah kami mencadangkan Jana Wibawa,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul memberitahu mahkamah, Muhyiddin mengeluarkan surat cadangan berhubung pelantikan 54 kontraktor bagi pelaksanaan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

Beliau mengesahkan 54 buah syarikat yang disenaraikan di dalam surat ini bukan datang daripada beliau dan Kementerian Kewangan.

Menurut Tengku Zafrul, beliau tidak mengetahui sama ada syarikat yang disenaraikan Muhyiddin mempunyai kepentingan dengan dengan bekas perdana menteri itu kerana beliau (Muhyiddin) tidak memaklumkan kepadanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/07/1380865/tengku-zafrul-setuju-cadangan-peguam-muhyiddin-tiada-campur-tangan-projek