Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Harian Metro


Tengku Zafrul hari ini memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Muhyiddin di Mahkamah Tinggi. — FOTO BERNAMA

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, penganugerahan projek secara rundingan terus adalah perkara biasa yang digunakan bagi tujuan keselamatan negara, kepentingan awam dan ketika keadaan mendesak.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memberikan keterangan, berkata rundingan terus adalah kaedah perolehan kerajaan yang telah lama diamalkan dan bukannya diperkenalkan khusus bagi projek Jana Wibawa sahaja.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Amer Hamzah Arshad pada hari kedua perbicaraan kes berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau memberi keterangan terhadap Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan, iaitu empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan projek itu.

Beliau bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa pentadbiran kerajaan terdahulu, termasuk yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, turut menggunakan kaedah rundingan terus bagi perolehan projek kerajaan.

Ketika dicadangkan bahawa tiada apa-apa yang “mencurigakan” mengenai kaedah perolehan itu kerana ia sudah lama digunakan bagi urusan membabitkan keselamatan negara, kepentingan awam dan situasi kecemasan, beliau menjawab, “setuju.”

Tengku Zafrul juga bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa negaraberdepan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini apabila pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020.

Amer Hamzah mencadangkan kepada saksi dan ia turut dipersetujui bahawa, ia sekali gus memerlukan kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah rangsangan bagi melindungi perniagaan dan pekerjaan.

Beliau berkata, projek Jana Wibawa adalah beberapa inisiatif yang dirangka untuk membantu memulihkan ekonomi, khususnya sektor pembinaan dan kontraktor Bumiputera yang terjejas teruk akibat pandemik.

Tengku Zafrul turut bersetuju bahawa projek itu dicadangkan demi kepentingan awam dan faktor kesegeraan adalah pertimbangan utama dalam penggunaan kaedah perolehan secara rundingan terus.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Kementerian Kewanganmenjalankan kajian yang diperlukan sebelum mencadangkan Jana Wibawa kepada Jemaah Menteri.

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Tengku Zafrul menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui siapa yang menyediakan senarai 54 kontraktor yang dicadangkan di bawah projek itu.

Beliau juga mengakui tidak mengetahui bagaimana nilai projek yang dicadangkan ditentukan atau bagaimana kontraktor dipadankan dengan setiap projek.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/07/1380877/kes-projek-jana-wibawa-rundingan-terus-demi-keselamatan-kepentingan