Oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia
Diketuai oleh TYT Edmund Bon Tai Soon, Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Pengerusi AICHR 2025, serta Kementerian Luar Negeri, AICHR akan menganjurkan Bengkel Serantau mengenai Perspektif Lensa Gender dalam Perniagaan dan Hak Asasi Manusia di ASEAN dari 30 Jun hingga 1 Julai 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia.
Bengkel ini akan membincangkan rangka kerja lensa gender serantau dalam menangani cabaran berasaskan gender, mengatasi diskriminasi struktur dan budaya, serta memperkukuh perlindungan hak asasi wanita dan kanak-kanak perempuan. Ia juga akan meneliti pelaksanaan Prinsip Panduan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia: Pelaksanaan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu “Melindungi, Menghormati dan Pemulihan”, dengan penekanan terhadap kemajuan dan cabaran dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan behubung kesaksamaan gender, pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi, serta pengurangan ketidaksamaan.
Amalan-amalan baik dalam menangani cabaran dan halangan untuk mendapatkan penyelesaian yang berkesan berkaitan isu ini juga akan turut dikongsikan, selaras dengan matlamat AICHR untuk menyokong Negara-Negara Anggota ASEAN melalui syor kepada kerajaan dan perusahaan perniagaan untuk dipertimbangkan dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan amalan. Selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, bengkel ini menyokong usaha pembangunan ASEAN yang terangkum dan mampan serta mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam memajukan agenda perniagaan dan hak asasi manusia yang lebih responsif.
Program ini akan dimulakan dengan ucapan daripada TYT Bon, Duta Kiya Masahiko, Duta Jepun ke ASEAN dan Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid, Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Dr Pichamon Yeophantong, Pengerusi Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, akan memberi ucaptama.
Program ini disokong bersama oleh Negara-Negara Anggota ASEAN melalui Dana AICHR, Kerajaan Jepun melalui “Japan-ASEAN Integration Fund” (JAIF), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), serta dengan kerjasama kementerian dan agensi Malaysia dan SUHAKAM. Bengkel ini merupakan salah satu inisiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini yang mengukuhkan komitmen teguh negara terhadap hak asasi manusia dalam rangka kerja “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Putrajaya
30 June 2025
Sumber: https://www.kln.gov.my/web/guest/-/malaysia-to-lead-asean-business-and-human-rights-agenda-focusing-on-gender-empowerment-and-equality-30-june-1-july-2025. Diarkibkan di https://perma.cc/WLK9-KSWL
The English version of this press release is available here.


