Oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia


Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), yang diterajui oleh Malaysia bersama rakan pelaksana bersama Indonesia dan Thailand, akan menganjurkan beberapa siri bengkel seterusnya bagi meneruskan “AICHR Regional Training Programme on Human Rights – Workshops on Intersection Between Conflict and Human Rights: Pathways and Approaches to Peace in ASEAN” dari 13 hingga 15 Ogos 2025 di Jakarta, Indonesia.

Bengkel-bengkel ini merupakan sebahagian daripada program enam siri yang bertujuan membangunkan kerangka ASEAN bagi pencegahan konflik, pengurusan krisis dan pembinaan keamanan di rantau ini, selaras dengan aspirasi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama yang telah diperakukan pada 26 Mei 2025.

Tiga bengkel di Jakarta ini akan membincangkan mekanisme pencegahan konflik dan pembinaan keamanan, kerangka dan pendekatan keamanan antarabangsa, serta perlindungan hak asasi manusia bagi semua dalam situasi konflik. Para peserta juga akan melaksanakan simulasi kajian kes untuk meneroka aplikasi praktikal inisiatif keamanan ASEAN.

Dengan menghimpunkan wakil-wakil ASEAN, diplomat, ahli akademik, pengantara keamanan, pakar dan masyarakat sivil, bengkel ini bertujuan menggalakkan dialog, berkongsi amalan terbaik, dan memperkukuh pendekatan kerjasama bagi memajukan pendekatan keamanan yang inklusif dan berasaskan hak asasi di seluruh rantau ini.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda keterangkuman dan kemampanan Malaysia dalam mempromosi dan melindungi keamanan serta keselamatan serantau sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Putrajaya
13 Ogos 2025


Sumber: https://www.kln.gov.my/web/guest/-/aichr-dialogues-on-pathways-and-approaches-to-peace-through-asean-workshops-on-mechanisms-for-conflict-prevention-peacebuilding-and-human-rights-in-ja. Diarkibkan di https://perma.cc/88XT-N4DK

The English version of this press release is available here.