Oleh Kasthuri Jeevendran | Malaysia Gazette


Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan mengenai empat tuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga kes pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. — MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2026.

Perbicaraan kes rasuah membabitkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan aliran wang berjumlah RM5 juta yang dimasukkan ke dalam akaun parti itu antara 2021 hingga 2022.

Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa sebahagian besar dana tersebut datang daripada beberapa keping cek yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff.

Penolong Pengurus CIMB Bank cawangan Bukit Tunku, Herdayanti Hassan, dalam keterangannya berkata Azman mengeluarkan empat cek berjumlah RM4 juta yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

Menurut beliau, dua cek masing-masing bernilai RM2 juta dan RM1 juta dikeluarkan pada 21 September 2021, manakala dua lagi cek bernilai RM500,000 setiap satu bertarikh 3 November 2022.

Jelasnya, semua transaksi berkenaan direkodkan dalam penyata akaun milik Azman, yang menggunakan alamat KCJ Engineering Sdn Bhd di Seksyen 13, Shah Alam sebagai alamat surat-menyurat.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad, Herdayanti mengakui beliau tidak mengetahui tujuan sebenar transaksi tersebut.

Sementara itu, seorang lagi saksi daripada Maybank, Alfian Othman, memberitahu mahkamah bahawa syarikat pembinaan Nepturis Sdn Bhd turut mengeluarkan cek bernilai RM1 juta kepada Bersatu.

Katanya, cek itu telah ditunaikan pada 21 Februari 2022 dan direkodkan dalam penyata bank bertarikh 28 Februari tahun sama.

Dalam sesi soal balas, Alfian bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa tiada satu pun bayaran dibuat secara terus kepada Muhyiddin.

Kedua-dua saksi tersebut merupakan sebahagian daripada lima pegawai bank yang dipanggil pihak pendakwaan bagi mengesahkan aliran transaksi jutaan ringgit ke dalam akaun parti berkenaan.

Sebelum ini, mahkamah turut mendengar keterangan tiga lagi pegawai bank yang mengesahkan transaksi lain membabitkan jumlah RM800,000, RM6 juta dan RM19.3 juta ke dalam akaun sama.

Muhyiddin berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

Beliau didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM225.3 juta bagi pihak parti daripada beberapa syarikat termasuk Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd serta Azman.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Selain itu, beliau turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Bersatu melalui beberapa institusi perbankan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Noor Ruwena Nurdin ditetapkan bersambung pada 28 April ini.


Sumber: https://malaysiagazette.com/2026/04/16/rm5juta-masuk-ke-akaun-bersatu-tiada-bayaran-terus-kepada-muhyiddin-saksi/. Diarkibkan di https://perma.cc/AH89-7CVR