Oleh Norlizah Abas | Malaysia Gazette


Perbicaraan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pertuduhan salah guna kuasa melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta di Kuala Lumpur. — AIZAT ZAINAL (GAMBAR FAIL, 29 APRIL 2026)

Mahkamah Tinggi hari ini mendengar keterangan salah seorang pemegang saham dan pengarah Nepturis Sdn. Bhd., syarikat yang dikaitkan dengan pertuduhan kes Program Janawibawa melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Aliza Abd. Malek, 46, berkata, syarikat itu memohon kepada kerajaan untuk melaksanakan dua projek pembinaan iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan Projek Central Spine Road Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur.

Beliau yang juga eksekutif kanan perolehan syarikat tersebut berkata, beliau mendapat arahan ahli perniagaan yang juga pemilik Nepturis, Lian Tian Chuan (dikenali sebagai TC Lian) untuk menyediakan surat bagi memohon projek berkenaan.

Menurut saksi pendakwaan ke-13, TC Lian memaklumkan  surat tersebut akan diberikan kepada Muhyiddin (ketika itu Perdana Menteri).

Kata Aliza, beliau turut diarah menyediakan surat permohonan bagi empat lagi syarikat untuk projek balai polis sama.

Beliau berkata, empat syarikat itu ialah Permata Rebana Sdn. Bhd., Fastcoll Corporation Sdn. Bhd., JM Letrik Sdn. Bhd. dan MZ Hakujaya Sdn. Bhd.

Ujarnya, surat berkaitan Nepturis kemudian diberikan kepada seorang lagi pengarah, Mohd. Rizman Akum Khan untuk ditandatangani dan dimajukan kepada TC Lian.

“Saya mengesahkan saya tidak tahu surat itu diserahkan kepada siapa atau dengan siapa TC Lian berurusan bagi menyerahkan surat tersebut.

“Saya mengesahkan syarikat Nepturis telah memperolehi projek membina Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dengan kos kontrak berjumlah lebih kurang RM141 juta,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Muhyiddin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan kes Janawibawa.

Aliza selanjutnya menyatakan beliau hanya mengetahui projek tersebut berkaitan Program Janawibawa selepas menerima e mel daripada Kementerian Kewangan Malaysia pada 26 Mac 2021 berkenaan Penilai Jana Wibawa – Penilaian Pra-Kelayakan.

Ujarnya, selang beberapa bulan, beliau memberitahu, Rizman Nepturis telah melepasi penilaian pra-kelayakan seperti yang dimaklumkan menerusi email oleh pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

“Selang beberapa bulan, pihak JKR ada menghubungi Nepturis iaitu melalui saya, memaklumkan bahawa surat niat telah disediakan dan memohon saya dan Rizman hadir menandatangan surat tersebut.

“Saya mengesahkan JKR telah mengeluarkan surat niat bagi projek IPD Klang Utara pada 10 Disember 2021 dan selang beberapa hari saya telah menandatangan persetujuan dengan harga yang ditawarkan oleh JKR,” ujarnya.

Dalam pernyataan saksi, Aliza berkata, walaupun TC Lian tiada nama di dalam syarikat Nepturis, ahli perniagaan itu mempunyai pegangan saham sebanyak 30 peratus dalam syarikat kerana segala modal adalah hasil suntikan modal daripada syarikat beliau, Metrasys Sdn Bhd.

Menjawab soalan balas peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi berkata, TC Lian melantiknya sebagai pengarah namun beliau (saksi) tidak pernah mengisytiharkan saham dalam syarikat itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.


Sumber: https://malaysiagazette.com/2026/07/09/mahkamah-dengar-keterangan-pengarah-syarikat-terkait-kes-muhyiddin/