Oleh Farah Marshita Abdul Patah | Berita Harian


Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan harus dipinda sebagai langkah utama ke arah pengasingan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Pengamal undang-undang, Amer Hamzah Arshad, berkata artikel itu menggariskan bahawa tugas serta peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya terletak pada individu yang sama.

Menurut Artikel 145(2), beliau berkata, peranan Peguam Negara ialah menasihati Yang di-Pertuan Agong, Kabinet atau menteri yang mana dalam erti kata lain, secara dasar tugas Peguam Negara adalah sebagai penasihat undang-undang kerajaan atau badan eksekutif.

“Pada masa sama, Artikel 145(3) menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mendakwa kes-kes jenayah bagi pihak awam.

“Ini bermakna Peguam Negara juga menjalankan peranan sebagai Pendakwa Raya, berhak dan boleh mendakwa sesiapa saja yang disyaki melakukan kesalahan jenayah, termasuk ahli Kabinet atau bekas Menteri, sekiranya wujud keterangan mencukupi,” katanya ketika dihubungi BH.

Bagaimanapun untuk menjalankan tanggungjawab itu secara efektif, Amer Hamzah berkata, Pendakwa Raya perlu bertindak secara bebas dan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

Beliau menjelaskan, perkara itu adalah kritikal apabila wujud kes jenayah dan pendakwaan yang membabitkan ahli daripada badan eksekutif atau pentadbiran negara.

“Dalam rangka dan sistem sedia ada, persepsi atau kebarangkalian wujud pertindihan kepentingan atau campur tangan politik dalam membuat keputusan untuk mendakwa atau tidak individu yang berkepentingan kepada kerajaan mahupun pembangkang, tidak boleh diketepikan.

“Sebagai contoh, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita melihat beberapa kes jenayah berprofil tinggi dimulakan oleh Peguam Negara lantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) tetapi pada masa sama, ada kes yang membabitkan pemimpin mereka dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan berkenaan oleh Peguam Negara ketika itu membangkitkan perdebatan dalam kalangan masyarakat umum serta penganalisis politik sama ada pendakwaan terhadap pemimpin BN dan pemberhentian pendakwaan atau rayuan membabitkan kes pemimpin PH berkenaan adalah bersifat politik atau sebaliknya.

Selain itu, katanya, perdebatan sama juga timbul apabila terdapat keputusan bagi menarik balik pendakwaan oleh Peguam Negara kini terhadap beberapa pemimpin BN, walaupun wujud alasan-alasan kukuh dari sudut undang-undang dan keterangan untuk tidak meneruskan pendakwaan berkenaan.

“Isu ini akan terus diperdebatkan selagi tugas dan peranan Pendakwa Raya digalas oleh Peguam Negara.

“Dari segi dasar awam, tugas serta peranan Pendakwa Raya harus dilihat dan perlu secara hakiki bebas daripada sebarang pengaruh atau campur tangan politik atau eksekutif,” katanya.

Media semalam melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, dipetik berkata ia susulan pertemuan dan perbincangan dengan AGC, yang diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, kelmarin.


Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1036931/pinda-artikel-145-langkah-utama-asing-kuasa-peguam-negara-pendakwa