Oleh Noor Azlida Alimin | Sinar Harian


Tan Sri Muhyiddin Yassin

Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu mengarahkan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan rasuah terbabit.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S. M. Komathy Suppiah kemudiannya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu daripada semua pertuduhan berkenaan.

Ketika membaca keputusan secara sebulat suara tersebut, Hadhariah berkata, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu adalah jelas dan tidak memerlukan pihak pendakwaan untuk menyatakan secara terperinci butiran lanjut atau cara kesalahan itu dilakukan.

“Sehubungan itu, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan bahawa empat pertuduhan itu tidak mendedahkan kesalahan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Mahkamah turut bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa, Bersatu merupakan sebuah pertubuhan parti politik seperti takrifan dalam seksyen 3 Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.

Menyentuh isu yang dibangkitkan oleh pendakwaan selaku perayu bahawa pertuduhan itu tidak cacat, hakim ini berkata, mahkamah menerima hujahan pihak berkenaan dengan menyatakan, ia sebagai suatu yang jelas.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dan Ahmad Akram Gharib.

Muhyiddin pula diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arsyad.

Sementara itu, semasa hujahan, Wan Shaharuddin berkata, Mahkamah Tinggi bertindak secara pramatang dengan melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada semua pertuduhan itu sedangkan perbicaraan masih belum dimulakan.

“Saksi juga belum dipanggil untuk memberi keterangan dan mereka belum diuji melalui soal balas oleh pihak pembelaan,” katanya.

Mengikut empat pertuduhan itu, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta, dan RM12 juta (jumlah RM232.5 juta) yang diterima daripada tiga syarikat dan seorang individu bagi parti itu.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.


Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/651782/berita/semasa/muhyiddin-masih-berdepan-empat-kes-rasuah-rm2325-juta