Oleh Suraya Roslan | Harian Metro


Muhyiddin pada sidang media di Mahkamah Tinggi hari ini. — SAIFULIZAN TAMADI

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin empat pertuduhan salahguna kuasa untuk rasuah yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik dan penyalahgunaan kuasa mahkamah oleh pihak tertentu.

Muhyiddin, 76, berkata, susulan pembebasannya hari ini beliau akan terus berusaha untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai tindakan yang dibuat oleh pihak yang menganiayanya.

Beliau berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah palsu dan tidak langsung menepati undang-undang untuk dibicarakan.

“Sebelum ini, perkara seumpama ini tidak pernah berlaku, saya dimaklumkan ini adalah kes pertama.

“Sejak awal lagi pertuduhan berkenaan adalah bermotifkan politik sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang di bawah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau undang-undang jenayah lain,” katanya dalam sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.

Ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kemudiannya disambut oleh penyokongnya dengan laungan “takbir”.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut berterima kasih kepada semua terutama keluarga yang sentiasa memberi semangat untuk menegakkan keadilan dan menentang kemungkaran.

“Ini juga memberikan saya dan rakan lain semangat lebih tinggi untuk terus berjuang menentang kezaliman penyalahgunaan kuasa rasuah,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhyiddin bagi empat pertuduhan salah guna kuasa suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin selaku pemohon untuk membatalkan empat pertuduhan berkenaan.

Dalam prosiding itu, Muhyiddin diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib.

Sebelum ini, berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan kedudukannya untuk empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.

Ia yang mana kesemua suapan itu diterima daripada tiga syarikat dan seorang individu.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2023/08/999632/pertuduhan-ke-atas-saya-bermotifkan-politik-muhyiddin