Oleh Suraya Roslan | Harian Metro


Muhyiddin — BERNAMA

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan berkenaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, keempat-empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah cacat, tidak berasas, dan kabur.

“Mahkamah berpendapat pertuduhan yang dihadapi (Muhyiddin) tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.

“Jika perbicaraan diteruskan akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan sewajarnya dan menjadikan pendakwaan terhadapnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah,” kata hakim itu.

Mengulas lanjut, hakim itu berkata, kegagalan pihak pendakwaan selaku responden menyatakan cara kesalahan dilakukan sama ada Muhyiddin membuat keputusan atau mengambil tindakan dan berhubung perkara apa, maka empat pertuduhan itu tidak mematuhi keperluan mandatori seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam prosiding itu, Muhyiddin diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arshad, manakala pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dan Ahmad Akram Gharib.

Dalam prosiding terdahulu, pihak pembelaan berhujah empat pertuduhan salah guna jawatan yang dihadapi Muhyiddin mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diketepikan kerana tiada pendedahan kesalahan berkenaan sekali gus wujud satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Hisyam yang mewakili Muhyiddin berkata, adalah jelas bahawa konsep proses keadilan dilanggar oleh pihak pendakwaan kerana terlalu tergesa-gesa, di mana peraturan asas keadilan tidak dipatuhi.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin memfailkan notis usul untuk membatalkan pertuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik Bersatu.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd juga bagi milik parti itu.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19.5 juta daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12 juta bagi milik partinya daripada Datuk Azman Yusoff.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2023/08/999587/muhyiddin-dilepas-bebas-4-tuduhan-guna-kedudukan-untuk-suapan-rm2325-juta