Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Berita Harian

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak campur tangan dalam proses penganugerahan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Pada prosiding perbicaraan hari ini, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, 53, bersetuju dengan cadangan peguam Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad bahawa anak guamnya tiada campur tangan dalam perkara itu.
Tengku Zafrul yang menjawab soalan Amer Hamzah pada sesi pemeriksaan balas juga disoal sama ada terdapat campur tangan perdana menteri dalam proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Jana Wibawa.
Saksi pendakwaan ke-11 itu menjawab, penilaian akan dibuat jawatankuasa itu yang kemudian akan mengemukakan saranan bagi tindakan lanjut, manakala kelulusan akhir diputuskan Kementerian Kewangan.
Amer Hamzah: Dalam proses yang awak nyatakan ini, ada atau tidak campur tangan PM?
Tengku Zafrul: Berdasarkan pengetahuan saya, tiada.
Tengku Zafrul ketika membacakan pernyataan saksinya semalam, berkata syarikat kejuruteraan dan pembinaan yang didakwa menyumbang RM800,000 kepada BERSATU, pada awalnya gagal dalam penilaian Kementerian Kewangan (MoF) bagi program Projek Jana Wibawa sebelum akhirnya memperoleh kontrak bernilai RM62 juta.
Beliau berkata, KCJ Engineering Sdn Bhd tidak melepasi penilaian pertama jawatankuasa, bagaimanapun lulus penilaian kali kedua dan disyorkan bagi projek itu berdasarkan keputusan jawatankuasa yang bermesyuarat pada 26 Februari 2021.
Katanya, KCJ Engineering adalah antara 54 syarikat dicadangkan perdana menteri ketika itu menerusi surat bertarikh 13 November 2020 bagi melaksanakan projek Program Jana Wibawa secara rundingan terus.
Beliau berkata, syarikat itu pada asalnya dicadang melaksanakan projek bernilai RM100 juta bagi pembinaan jalan menghubungkan FELDA Bukit Jalor dengan Gemas, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, katanya, selepas maklumat tambahan dikemukakan melalui Pejabat Perdana Menteri (PMO), syarikat itu menjalani penilaian kali kedua dan didapati memenuhi syarat diperlukan.
Sementara itu, Tengku Zafrul yang disoal balas Amer Hamzah berhubung perkara itu, bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada yang mencurigakan dalam keseluruhan proses oleh jawatankuasa itu.
Beliau berkata, ia adalah proses penilaian biasa yang turut dilalui syarikat lain dan bukannya KCJ saja.
Tengku Zafrul turut bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa setiap Minit Mesyuarat adalah bukan arahan dan beliau mengakui banyak menerima minit berkenaan daripada Muhyiddin.
Beliau berkata demikian ketika dirujuk dengan dokumen ‘Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan 54 Projek Di Bawah Program Jana Wibawa Secara Rundingan Terus (Reka & Bina)’ yang turut menyenaraikan nama syarikat kontraktor.
Saksi penting pendakwaan itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada sebarang keterangan dikemukakan pihak pendakwaan menunjukkan Muhyiddin ada kepentingan peribadi atau kewangan dengan syarikat terbabit.
Ketika dicadangkan semua projek itu tidak boleh dilaksanakan seorang menteri saja, sebaliknya memerlukan kelulusan pihak berkuasa lebih tinggi, saksi menjawab, ‘Ya.’
Tengku Zafrul berkata, terdapat keperluan mewujudkan pakej rangsangan ekonomi bagi menjana peluang pekerjaan ketika pandemik COVID-19 dan beliau bersetuju semua projek itu tidak boleh dilaksanakan seorang menteri saja.
Beliau turut bersetuju kontraktor terjejas teruk ketika itu dan bantuan kepada mereka akan memberi ‘kesan limpahan’ kepada ekonomi.
“Anda dapat melihat masalah dihadapi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Bumiputera serta kontraktor dan keseluruhan ekosistem.
“Berdasarkan kepentingan dan kebimbangan itu, sebab itulah kami mencadangkan Jana Wibawa,” katanya.
Tengku Zafrul semalam memberitahu mahkamah, Muhyiddin mengeluarkan surat cadangan berhubung pelantikan 54 kontraktor bagi pelaksanaan 54 projek Jana Wibawa secara rundingan terus.
Beliau mengesahkan 54 syarikat disenaraikan dalam surat ini bukan datang daripada beliau dan MoFementerian Kewangan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.


