Oleh Free Malaysia Today


Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku itu pada 2020 atas alasan ia adalah penerbitan yang tidak diingini.  — GERAKBUDAYA

Seorang penerbit dan penulis gagal mendapat kebenaran untuk merayu larangan kerajaan terhadap buku mereka bertajuk Gay is OK! A Christian Perspective.

Hakim Zabariah Yusof menolak permohonan kebenaran Ngeo Boon Lin dan Chong Ton Sin untuk merayu larangan itu atas alasan mereka gagal memenuhi keperluan undang-undang untuk mahkamah tertinggi mendengarnya.

Turut bersidang ialah Hakim Hasnah Hashim dan Nordin Hassan.

Panel hakim itu mengarahkan Ngeo dan Chong membayar kos RM30,000.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan – dalam keputusan majoriti oleh Hakim Azizah Nawawi dan Wong Kian Kheong – mengembalikan larangan yang dikenakan ke atas buku itu atas alasan bahawa kerajaan tidak melakukan sebarang kesilapan undang-undang dalam mengenakan larangan itu.

Bagaimanapun, Hakim Gunalan Muniandy tidak bersetuju dengan mengatakan bahawa larangan itu harus dibatalkan.

Kementerian Dalam Negeri pada 2020 telah mengharamkan buku itu mengikut seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atas alasan ia dianggap sebagai penerbitan yang tidak diingini. Buku itu diterbitkan pada tahun 2013.

Mahkamah Tinggi pada 2022 telah membatalkan larangan itu, sambil menambah bahawa kerajaan “gagal menunjukkan bukti prejudis sebenar terhadap ketenteraman awam yang telah berlaku”.

Ngeo dan Chong diwakili peguam K. Shanmuga dan Michael Cheah manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Sallehuddin Ali mewakili Kementerian Dalam Negeri.


Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/28/penulis-penerbit-gagal-cabar-larangan-buku-gay-is-ok/