Oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia


Diketuai oleh TYT Edmund Bon Tai Soon, Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Pengerusi AICHR 2025, serta Kementerian Luar Negeri, AICHR akan menganjurkan dua inisiatif utama dari 1 hingga 2 Julai 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Bagi memperkukuh agenda keamanan serantau dan hak asasi manusia ASEAN, AICHR melancarkan secara rasmi Kajian Tematik mengenai Hak kepada Keamanan pada 1 Julai 2025. Kajian ini merupakan pencapaian penting dalam usaha ASEAN bagi melaksanakan pendekatan berasaskan hak dalam memelihara keamanan. Ia menegaskan semula bahawa hak kepada keamanan adalah hak asasi manusia yang penting kepada pembangunan mampan, maruah insan, serta bagi mengecapi semua hak asasi manusia yang lain. Kajian ini turut menggariskan syor-syor dasar penting bagi menyokong usaha ASEAN untuk menghormati hak asasi manusia dan pelaksanaan amalan-amalan yang memelihara keamanan serta keselamatan serantau, sejajar dengan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Pada 2 Julai 2025, AICHR akan memulakan Program Latihan Serantau AICHR mengenai Hak Asasi Manusia bertajuk “Workshops on Intersection Between Conflict and Human Rights: Pathways and Approaches to Peace in ASEAN” yang terdiri daripada enam siri. Bengkel pertama anjuran Malaysia akan memfokuskan kepada cara pihak berkepentingan membina keamanan melalui pencegahan konflik dan kaedah bagi mengekalkan keamanan yang mampan dan berpanjangan.

Program ini bertujuan memperkukuh keupayaan pegawai-pegawai ASEAN dalam mencegah konflik dan mempromosikan keamanan yang mampan melalui pelaksanaan praktikal prinsip hak asasi manusia. Program ini juga akan memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN untuk melaksanakan strategi pembinaan keamanan secara proaktif di samping menjadi platform untuk perkongsian pengalaman dan pemetaan dinamik konflik di peringkat tempatan, nasional dan serantau. Tan Sri Othman Hashim, Duta Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, akan menyampaikan ucaptama program ini. Para peserta terdiri daripada pegawai kerajaan ASEAN serta wakil institusi hak asasi manusia kebangsaan, pertubuhan masyarakat sivil dan ahli akademik.

Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam melaksanakan agenda keterangkuman dan kemampanan serta menyokong keutamaan strategik ASEAN untuk memperkukuh keamanan serantau, memperkukuh multilateralisme dan memupuk Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, proaktif dan berorientasikan rakyat.

Putrajaya
1 July 2025


Sumber: https://www.kln.gov.my/web/guest/-/malaysia-launches-asean-study-on-the-right-to-peace-and-actionable-platform-to-advance-pathways-to-peace-in-asean-1-2-july-2025. Diarkibkan di https://perma.cc/4242-DG8G

The English version of this press release is available here.