Oleh Sosialis


Hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak bantahan awal oleh syarikat Perwakilan Cekap Sdn Bhd yang cuba menafikan dua orang pemandu lori yang memfail kes tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja itu pekerjanya. Dalam penghakiman yang disampaikan secara atas talian pada hari ini, Hakim Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengatakan bahawa persoalan sama ada kedua-dua orang pemandu lori dalam kes ini pekerja atau kontraktor bebas harus diputuskan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Buruh. Oleh itu, kes ini dirujuk balik ke Mahkamah Buruh untuk perbicaraan penuh. Ini merupakan satu tamparan kepada pihak majikan yang cuba membazir masa kerana enggan mengiktiraf pemandu lori yang diupahnya itu sebagai pekerja.

Dua orang pemandu lori yang terlibat dalam kes ini, Vasudevan dan Gunaseelan, diambil kerja oleh syarikat Perwakilan Cekap Sdn Bhd pada bulan Januari 2020 dengan perjanjian kerja secara lisan, diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). Kedua-dua orang pemandu lori ini memfailkan tuntutan di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang kerana pihak majikan tidak membayar upah mereka mengikut kadar gaji minimum, di samping gagal membayar upah kerja lebih masa, elaun telefon dan cuti tahunan yang sepatutnya. Namun, pihak majikan yang tidak hadir ke sesi sebutan di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang sebanyak dua kali, melalui peguam yang dilantiknya mengemukakan bantahan semasa perbicaraan di Mahkamah Buruh bahawa kedua-dua pemandu lori ini bukan pekerja, sebaliknya mereka hanya merupakan kontraktor bebas, maka kes tuntutan pekerja ini tidak dilayak untuk didengar di Jabatan Tenaga Kerja. Pihak majikan kemudian membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi. Akan tetapi, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini jelas menunjukkan bahawa pihak majikan yang enggan mematuhi proses pengadilan di bawah undang-undang buruh ini sedang membazirkan masa semua pihak. (Baca lebih lanjut lagi tentang latar belakang kes di sini.)

Dua orang pemandu lori ini telah diwakili oleh peguam New Sin Yew dan Beatrice Chin. Mereka turut dibantu oleh Pusat Khidmat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Klang.

Dalam satu tulisan sebelum ini, M. Sivaranjani, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Setiausaha PSM Cawangan Klang yang membantu dalam kes ini, berkata, “Bukan hanya dua orang pekerja ini yang mengalami nasib sebegini. Ramai pemandu lori kini menghadapi cabaran yang serupa. Pemandu-pemandu lori ini bekerja di bawah satu majikan, tetapi mereka digelar sebagai kontraktor bebas walaupun ciri-ciri kerja menunjukkan mereka lebih menyerupai pekerja dan bukan kontraktor bebas. Ini satu lagi taktik majikan untuk mengelakkan diri daripada tanggungjawab mereka sebagai majikan. Ketidakadilan sebegini harus ditentang.”

Jika terdapat mana-mana pemandu lori yang menghadapi masalah pencabulan hak pekerja, sila hubungi Gabungan Pemandu Lori di talian 019-5638464/012-2414351 untuk mempertahankan hak pekerja.


Sumber: https://sosialis.net/2022/03/28/mahkamah-tinggi-tolak-permohonan-majikan-yang-enggan-iktiraf-pemandu-lori-sebagai-pekerja/