Oleh Bernama


Panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, dan tidak mengikut protokol.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata demikian semasa menyampaikan keputusan mahkamah berhubung permohonan oleh tiga peguam yang merujuk dua persoalanan perlembagaan yang berkaitan dengan siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan.

Beliau berkata cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga soal keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Menurutnya waktu siasatan terhadap Nazlan yang menimbulkan persoalan, yang dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan terhadapnya dilakukan secara 

“Walaupun kenyataan media SPRM tidak menyatakan nama Mohd Nazlan, laporan berita-berita semasa media yang menyebut Hakim Nazlan dan blog terdahulu dengan kesimpulan mereka semua merujuk kepada beliau, yang membolehkan sesiapa jua yang membaca kenyataan media itu untuk menyimpulkan atau percaya, bahawa Hakim Nazlan disyaki melakukan jenayah. Kenyataan itu sendiri boleh memburukkan imej badan kehakiman yang bebas,” katanya.  

Tengku Maimun juga berkata mahkamah mengambil maklum bahawa semasa kenyataan media itu dikeluarkan, media hangat melaporkan bahawa rayuan terakhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam SRC International Sdn Bhd akan didengar di Mahkamah Persekutuan tidak lama lagi.

Menurutnya Najib malah telah bergantung kepada hujah bahawa, apa yang dianggap sebagai berat sebelah oleh Mohd Nazlan dan pekerjaannya terdahulu dengan Maybank — sebagai asas untuk membatalkan sabitannya.

Hakim-hakim lain dalam panel Mahkamah Persekutuan itu terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, dan Datuk Rhodzariah Bujang

Tengku Maimun berkata demikian semasa menyampaikan secara dalam talian, keputusan mahkamah berhubung dua soalan yang dibangkitkan oleh Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Nur Ain Mustapa, dan Sreekant Pillai.

Soalan yang dibangkitkan itu adalah berkaitan kuasa badan penyiasat jenayah menyiasat hakim kanan yang sedang dalam perkhidmatan, di samping kuasa pendakwa raya untuk memulakan prosiding terhadap hakim kanan yang sedang dalam perkhidmatan.

Tengku Maimun berkata oleh kerana kes semasa ini adalah permohonan rujukan dan bukan perbicaraan substantif, mahkamah tidak akan membuat banyak komen berkenaan fakta, “kecuali kita buat sebarang penemuan fakta”.

Mahkamah kemudiannya mengembalikan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi untuk dilupuskan perkara dalam saman selaras dengan penghakiman mahkamah ini atau undang-undang di bawah seksyen 85 Akta Mahkamah Kehakiman.

Peguam itu mengemukakan saman pada 6 Mei tahun lepas terhadap ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM, dan Kerajaan Persekutuan selepas SPRM membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan berikutan laporan yang dibuat mengenai jumlah tidak dapat dijelaskan lebih RM1 juta dalam akaun bank Mohd Nazlan).

Mereka berhujah bahawa badan penyiasat jenayah dan pihak pendakwaan hanya boleh memulakan siasatan ke atas hakim yang sedang berkhidmat selepas hakim itu digantung tugas oleh Yang di-Pertuan Agong atau telah disingkirkan oleh tribunal.

Mohd Nazlan kemudiannya membuat laporan polis terhadap sebuah portal dalam talian yang mendakwa beliau disiasat berhubung kekayaan yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Mohd Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020.

Dalam keputusan hari ini, Tengku Maimun turut berkata satu set protokol berlu dipatuhi apabila seseorang hakim disiasat, termasuk mendapatkan permohonan daripada Ketua Hakim Negara terlebih dahulu sebelum memulakan siasatan.

Beliau berkata ini kerana Ketua Hakim Negara mungkin lebih tahu perkara-perkara yang tidak diketahui badan siasatan, dan ia juga akan memelihara kebebasan badan kehakiman.

Menurutnya badan siasatan jenayah tidak boleh dengan sendirinya menghebahkan atau mengiklankan fakta penyiasatan atau kandungan penyiasatan hakim mahkamah atasan tanpa kebenaran Ketua Hakim Negara, dan keseluruhan kandungan mesti dirahsiakan pada setiap masa.

Beliau berkata hakim-hakim adalah dianggap sebagai warganegara dengan karekter yang bermoral tinggi, dan menambah “pengumuman mengenai siasatan terhadap hakim sahaja sudah cukup untuk merosakkan imej institusi tempat beliau berkhidmat”.

Tiga peguam berkenaan diwakili oleh peguam mereka Datuk Malik Imtiaz dan A.Surendra Ananth manakala peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili Azam, SPRM, dan kerajaan Persekutuan, manakala peguam New Sin Yew sebagai sahabat mahkamah.


Sumber: https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2167530. Diarkib di https://perma.cc/U4SZ-6RD2