Oleh Rahmat Khairulrijal | Berita Harian

Mahkamah Tinggi hari ini, menolak cabaran undang-undang yang dikemukakan dua ahli politik, Majlis Peguam Malaysia, Bersih 2.0 dan beberapa pihak lain berhubung penggantungan Parlimen ketika darurat COVID-19 pada 2021.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman memutuskan mahkamah tidak boleh memberikan deklarasi yang dimohon untuk membatalkan peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, termasuk Seksyen 14 yang berkaitan dengan penggantungan Parlimen.
Beliau menolak dua permohonan semakan kehakiman dan dua saman pemula tanpa perintah mengenai kos.
Aliza berkata, Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan menghalang mahkamah daripada memutuskan cabaran terhadap kesahan sesuatu ordinan darurat, termasuk cabaran ditujukan kepada peruntukan tertentu.
Beliau berkata, mengisytiharkan Seksyen 11, 14 dan 15 sebagai tidak berperlembagaan tetap membawa kepada dapatan bahawa ordinan berkenaan tidak sah, sekurang-kurangnya setakat peruntukan terbabit.
Seksyen 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat masing-masing berkaitan kuasa eksekutif dan perundangan, persidangan Parlimen serta persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, membenarkan cabaran sedemikian secara berkesan akan membolehkan pihak terbabit mendapatkan ‘satu persatu peruntukan apa yang tidak boleh diperolehnya melalui cabaran secara langsung terhadap ordinan secara keseluruhan’.
Bagaimanapun, mahkamah menolak hujahan kerajaan bahawa prosiding itu perlu ditolak atas alasan ia sudah menjadi akademik selepas tempoh darurat berakhir.
“Mahkamah menerima bahawa persoalan perlembagaan yang serius tidak secara automatik menjadi akademik hanya kerana langkah yang dicabar itu sudah tamat tempoh,” katanya.
Aliza berkata, terdapat keadaan tertentu yang membolehkan mahkamah memutuskan persoalan yang berulang, khususnya apabila langkah yang dipersoalkan mempunyai tempoh terlalu singkat untuk proses litigasi biasa diselesaikan.
Mahkamah bagaimanapun mendapati remedi deklarasi yang dimohon membabitkan persoalan berkepentingan awam.
Berhubung peranan perlembagaan Parlimen ketika darurat, Aliza berkata, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan tidak membayangkan Parlimen boleh disingkirkan sepenuhnya daripada kerangka Perlembagaan.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Abdul Aziz Bari.
Mereka mencabar nasihat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membawa kepada pewartaan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 serta penggantungan Parlimen.
Mahkamah Persekutuan pada 24 Julai 2024 membenarkan kedua-dua ahli politik itu memulakan prosiding semakan kehakiman dan merujuk perkara berkenaan kembali ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan berdasarkan merit.
Majlis Peguam Malaysia dan Bersih 2.0, bersama tujuh pihak lain, turut memfailkan saman pemula secara berasingan bagi mencabar beberapa aspek pengisytiharan darurat dan ordinan berkenaan.


