Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Suraya Ali | Berita Harian

Peguam bela Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan, pembelaan akan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan anak guamnya daripada tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytihar pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Peguam Amer Hamzah Arshad berkata, pendakwaan berhak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim K. Muniandy pagi tadi.
“Kita akan jumpa mereka di Mahkamah Rayuan (jika pendakwaan merayu),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain Amer Hamzah, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu turut diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Mohamed Reza Abdul Rahim, Ravijan Nambiar, dan Joshua Tay.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan dibantu Poh Yih Tinn serta Deepa Nair.
Sementara itu, Amer Hamzah berkata, hakim sudah menyatakan dengan jelas melalui alasan penghakiman berhubung semua isu perundangan berkaitan tuduhan ke atas anak guamnya.
“Kita akan beritahu mereka supaya jangan membuang masa,” katanya.
Muniandy melepas dan membebaskan Rosmah daripada kesemua tuduhan selepas membenarkan permohonan tertuduh untuk membatalkan tuduhan itu yang didakwa tidak berasas dan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam dalam setiap tuduhan.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1338921/kita-jumpa-di-mahkamah-peguam-rosmah


