By Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan | Sinar Harian


Mahkamah Tinggi menetapkan 22 Februari depan untuk keputusan permohonan Kerajaan Negeri dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membatalkan saman RM14 bilion daripada Puncak Niaga Holdings Berhad.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan berhubung dua isu yang dibangkitkan oleh ketiga-tiga pihak.

Terdahulu, peguam  S Gopal yang mewakili Puncak Niaga selaku plaintif berhujah bahawa intrepretasi penjawat awam yang dihujahkan defendan menggunakan Akta Prosiding Kerajaan dan Akta Taksiran  tidak boleh diguna pakai dalam permohonan ini kerana terdapat undang-undang lazim terkini yang boleh disandarkan.

“Akta Prosiding Kerajaan diwartakan tahun 1956, manakala Akta Tafsiran diwartakan pada 1967.

“Kedua-dua akta boleh guna pakai terhadap tidakan undang undang lazim,” katanya.

Bagaimanapun peguam Datuk Nik Shuhaimi Nik Sulaiman yang mewakili Selangor dalam hujahan balasnya berkata Akta Tafsiran terpakai untuk mendefinisikan penjawat awam.

Ia berikutan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar yang memegang jawatan itu di pejabat awam berasaskan kepada mereka bukanlah diwujudkan di bawah perkhidmatan awam seperti mana didefinisikan di bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, New Sin Yew yang mewakili Khalid selaku defendan pertama berhujah anak guamnya bukan seorang penjawat awam.

“Perlembagaan Persekutuan di bawah Akta Tafsiran, maksud penjawat awam telah dijelaskan,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, Selangor memfailkan pemohonan untuk mengenepikan saman tersebut manakala Khalid mengambil tindakan sama pada 27 November 2017.

Puncak Niaga dalam pernyataan tuntutan bertarikh 27 Oktober lepas kepada Abdul Khalid, Mohamed Azmin dan Kerajaan Negeri Selangor mendakwa defendan menyalahguna kuasa dalam isu penstrukturan semula industri air Selangor.

Syarikat itu mendakwa tindakan defendan untuk menyebab atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.


Source: http://www.sinarharian.com.my/semasa/keputusan-batal-saman-puncak-niaga-februari-1.789843