Oleh Nurul Hidayah Bahaudin | Harian Metro


MA Quayum

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak dakwaan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghina mahkamah berhubung isu penahanan dan tindakan mengusir pemimpin politik pembangkang Bangladesh, MA Quayum.

Isu itu ditimbulkan peguam Quayum berikutan tindakan JIM menandatangani persetujuan menghantar pulang pemimpin politik terbabit meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan perintah penggantungan supaya Quayum tidak dihantar pulang ke negara asalnya.

Menurut peguam pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berusia 63 tahun itu, pengusiran terbabit jelas melanggar perintah mahkamah dan berkemungkinan besar menghina mahkamah.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Quayum ditahan pada awal Januari lalu oleh polis yang kemudian diserahkan kepada JIM kerana pasport pemimpin itu sudah dibatalkan sekali gus ia termaktub dalam bidang kuasa imigresen.

“Untuk Quayum ditempatkan di depot imigresen, ada proses yang perlu dibuat termasuk memaklumkan kepada beliau bahawa dia akan ditahan di sana.

“Sebagai prosedur, Quayum juga diberitahu bahawa beliau adalah pemegang pas Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) tetapi apabila pasportnya dibatalkan, maka pas itu tidak lagi boleh berkuat kuasa,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Setia Perkasa, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Quayum juga diberitahu mengikut Akta Imigresen (1959/63) bahawa beliau ditempatkan di depot imigresen adalah bertujuan untuk penghantaran pulang.

“Namun, JIM terikat dengan keputusan mahkamah kerana Quayum membawa kes itu ke mahkamah yang akan didengar pada 5 April ini dan hari ini adalah pengurusan kes terbabit,” katanya.

Saifuddin turut memberitahu beliau sudah menghubungi peguam Quayum pagi tadi bagi memaklumkan bahawa JIM akan patuh, akur, dan menghormati proses mahkamah.

“Sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung status kes itu, JIM tidak akan menghantar beliau pulang,” katanya.

Mengulas mengenai laporan media yang menyelar tindakan JIM yang didakwa menghantar balik Quayum, beliau berkata, laporan itu “berat sebelah”.

“Ada setengah media melaporkan JIM akan hantar balik (Quayum) dan tindakan itu dianggap tidak menghormati keputusan mahkamah dan menghina mahkamah.

“Biarlah berlaku adil kepada kita. Dari mula dia ditahan, keadaan kesihatannya tidak begitu baik. Kita arahkan dia dikeluarkan dari lokap sebelum diletakkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih yang lebih kondusif dengan penjagaan lebih baik,” katanya.

Beliau turut menafikan mengenai laporan media yang mendakwa Quayum tidak tahu lokasi dia berada.

“Ada media melaporkan tidak tahu di mana Quayum berada, itu tidak betul. Isterinya dibenarkan melawat dan tentu dia ada lagi (berada di Malaysia). Malah, hari ini peguamnya dibenarkan melawat.

“Jadi tidak timbul soal ketidakpastian seperti dilaporkan kerana kita beri kerjasama sepenuhnya. Isu JIM tidak menghormati dan menghina mahkamah tidak timbul kerana ia mengikut proses ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Quayum berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu untuk mendapatkan perintah penggantungan bagi menghalang JIM menghantarnya pulang ke negara asal.

Pemimpin BNP itu dikehendaki di negaranya selepas dituduh membunuh pekerja bantuan warga Itali, Cesare Tavella.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/01/1056311/isu-penahanan-pemimpin-bangladesh-jim-akur-proses-mahkamah