Oleh Suraya Roslan | Harian Metro
Pemimpin politik pembangkang Bangladesh, MA Quayum berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mendapatkan perintah penggantungan bagi menghalang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghantarnya pulang ke negara asal.
Pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berusia 63 tahun itu dikehendaki di negaranya selepas dituduh membunuh pekerja bantuan Itali, Cesare Tavella.
Tavella, 50, ditembak mati penyerang bermotosikal pada September 2015 ketika berjoging di kawasan diplomatik Dhaka, ibu negara Bangladesh.
Dalam prosiding hari ini, Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Quayum untuk menangguhkan penghantaran ke negara asalnya sementara menunggu permohonan habeas corpus (penahanan salah) selesai.
Peguam Kee Shu Min mewakili Quayum membuat permohonan itu dan tiada bantahan daripada Peguam Persekutuan Mohamad Firdaus Sadina Ali yang mewakili Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen, Menteri Dalam Negeri, dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.
“Mahkamah membenarkan permohonan itu (penangguhan) dan menetapkan 5 April ini untuk pendengaran permohonan habeas corpus,” kata Muniandy pada sebutan kes hari ini.
Berdasarkan notis permohonan yang difailkan pada Isnin lalu, ahli politik itu memohon perintah habeas corpus dikeluarkan terhadapnya dan dibebaskan.
Selain itu, Quayum memohon perintah penggantungan daripada mana-mana responden untuk mengeluar dan mengusirnya dari Malaysia ke Bangladesh sehingga permohonan habeas corpus selesai.
Menerusi afidavit sokongan daripada anak pemohon menyatakan bapanya menetap di Malaysia sejak 15 tahun lalu dan mempunyai pasport serta seorang pemegang visa Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya 12 Januari lalu.
Katanya, beliau percaya bahawa tangkapan itu bertujuan untuk menghantar bapanya pulang secara paksa ke Bangladesh dalam masa segera dan ia satu operasi antara kerajaan-kerajaan yang dibuat secara rahsia tanpa mengikuti undang-undang seperti Akta Ekstradisi.
“Kerajaan Bangladesh memohon kerajaan Malaysia untuk menghantar bapanya pulang ke Bangladesh, oleh itu pasport dibatalkan tanpa pengetahuan kami baru-baru ini.
“Penghantaran pulang bapa ke Bangladesh adalah bertentangan dengan prinsip tiada penghantaran pulang paksa (principle of non-refoulement) di bawah undang-undang adat antarabangsa (customary international law) yang terpakai di Malaysia,” katanya.
Menurut anaknya, keselamatan pemohon terancam dan akan menghadapi penganiayaan politik sekiranya dihantar pulang ke Bangladesh memandangkan pemohon adalah seorang ahli politik pembangkang BNP di Bangladesh terutamanya dalam konteks politik Bangladesh yang sedang bergolak ketika ini.
Menurutnya, perkara itu adalah lanjutan daripada insiden yang berlaku pada 2015 yang mana bapanya didakwa membunuh Tavella di Dhaka walaupun kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) mengaku sudah bertanggungjawab terhadap kematian lelaki itu.
“Walaupun pada masa itu bapa saya tidak berada di Bangladesh dan sudah berpindah ke Malaysia, bapa dituduh ke mahkamah oleh pihak berkuasa Bangladesh.
“Setahun selepas kematian Tavella, agensi penguatkuasaan lain di Bangladesh yang dipanggil Rapid Action Battalion (RAB) menemui bukti bahawa lelaki itu ditembak mati oleh kumpulan militan,” katanya.
Sehubungan itu, pemohon meninggalkan Bangladesh dan memperoleh perlindungan sebagai pelarian berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).