By Nina Muslim | Bernama


Mawar (bukan nama sebenar), ibu kepada seorang anak lelaki, terpaksa berhati-hati dalam melayani kerenah suaminya yang merupakan warga asing, sekalipun mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

Menggambarkan lelaki itu sebagai seorang yang suka “mengongkong” dan “mendera secara emosi”, Mawar, 40-an, berkata sebelum ini suaminya cuba mengawal cara dia berpakaian dan berkelakuan, namun gagal.

Bagaimanapun kata Mawar, suaminya berjaya menemukan “kelemahannya”,  iaitu kewarganegaraan anak mereka.

“Saya terpaksa menjaga kelakuan saya. Tak boleh nak lawan (dia), tak boleh nak buat apa-apa. Saya terpaksa ikut sahaja apa yang dia mahu untuk memastikan anak tinggal bersama saya di sini,” katanya ketika dihubungi di kediamannya di Lembah Klang. 

Menurutnya, atas sebab itu jugalah dia tidak memfailkan penceraian, kerana kemungkinan besar dia akan hilang hak penjagaan anaknya yang berstatus warga asing menurut undang-undang Malaysia.

Isu perebutan anak dalam kalangan pasangan yang bercerai bukanlah perkara baharu, namun, apabila penceraian itu melibatkan pasangan rakyat Malaysia dan warga asing, isu tersebut bertambah sulit, lebih-lebih lagi jika warga Malaysia berkenaan adalah si ibu dan anak pula lahir di luar negara.

Untuk rekod, Malaysia antara 25 negara yang hanya mengiktiraf kerakyatan anak lahir di luar negara secara automatik jika bapanya rakyat Malaysia. Bagi wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, anak hanya akan mengikut kerakyatan si ibu secara automatik jika lahir di negara ini.

Jika lahir di luar negara, si ibu perlu memohon, dan proses mendapatkan kerakyatan itu pula sering kali mengambil masa, tidak telus dan mengelirukan. Kebanyakan permohonan juga biasanya ditolak tanpa diberikan sebarang alasan.

Berdasarkan laporan media, terdapat dua kes yang melibatkan isu berkenaan, masing-masing di peringkat rayuan, dengan pendengaran pertama untuk satu daripada kes itu dijadualkan pada 2 Nov ini.

Mawar percaya jika anaknya itu beroleh kerakyatan Malaysia, dia akan mempunyai peluang yang setara dengan suaminya dalam soal hak penjagaan anak.

“Ada sekali (suami) marah dengan saya tanpa diketahui apa sebabnya, dia bertindak menghilangkan diri dan langsung tidak dapat dihubungi selama setahun setengah, meletakkan saya dalam keadaan yang amat sukar. Mujurlah dia muncul kembali. Selepas itu saya sedar saya perlu lebih berhati-hati, kalau tidak, anak yang susah,” kongsinya.  

Suami Mawar tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Aspek kerakyatan dalam isu hak penjagaan

Peguam hak asasi manusia Edmund Bon berkata beliau tidak terkejut dengan kes Mawar kerana masalah paling besar yang akan timbul dalam perkahwinan melibatkan pasangan berlainan warganegara ialah penceraian dan hak penjagaan anak.

“Ini kerana status kerakyatan memainkan peranan yang agak penting apabila mahkamah membuat keputusan (tentang penjagaan anak),” jelasnya.

Beliau berkata kerakyatan juga melibatkan hak bermastautin. Sekiranya kerakyatan ibu dan anak berbeza, dan mereka pula tinggal di luar negara, si ibu mungkin tidak dibenarkan menetap di negara yang sama jika berlaku penceraian. 

Sehubungan itu, ramai wanita berasakan mereka tidak mempunyai pilihan selain kekal bersama suami masing-masing walaupun didera, kerana tidak mahu hilang hak penjagaan anak. Sekiranya mereka cuba meninggalkan suami, mereka mungkin berdepan tindakan undang-undang negara berkenaan dan juga undang-undang antarabangsa berkaitan penculikan anak dan campur tangan penjagaan.

Aktivis hak wanita Charlene Murray pula berkata organisasinya, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), turut menerima panggilan daripada wanita Malaysia di seberang laut, sebahagiannya didera oleh suami, meminta bantuan WAO untuk kembali ke tanah air bersama-sama anak mereka.

“Nasihat pertama yang kami berikan ialah mereka perlu menyelesaikan dahulu isu penjagaan anak di negara yang mereka diami,” katanya.

Beliau berkata wanita terbabit terperangkap dalam situasi yang tidak menyebelahi mereka apabila bukan sahaja perlu menghadapi undang-undang imigresen yang kompleks membabitkan dua atau lebih negara, tetapi juga kebimbangan tentang keselamatan mereka.   

Bagaimanapun, difahamkan lelaki Malaysia juga berisiko kehilangan hak penjagaan anak apabila perkahwinan mereka dengan wanita berlainan kerakyatan terlerai, sekalipun penceraian itu berlaku di Malaysia. Ini kerana, walaupun si anak berstatus warganegara Malaysia secara automatik, kerakyatan si anak berkemungkinan besar tidak mempunyai pengaruh terhadap keputusan prosiding mahkamah, baik di sini mahupun di luar negara.

“Kerakyatan bukan faktor utama dalam prosiding penceraian. (Bergantung pada negara), kes dibicarakan sepertimana kes-kes penceraian lain,” kata Malcolm Fernandez, peguam dan juga Presiden Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM).  

Bagaimanapun bagi wanita, apabila perkahwinan runtuh atas apa juga alasan, perjanjian hak penjagaan yang melibatkan anak berbeza kerakyatan dengan si ibu lazimnya sukar dimuktamadkan, seperti yang dialami oleh Li Li Tee, 37.

Bagaimanapun wanita itu agak bertuah kerana tidak seperti kebanyakan rakannya dalam kumpulan sokongan untuk kaum ibu, suaminya yang berasal dari China tidak menuntut hak penjagaan anak. Selepas tiga tahun duduk berasingan, Li diberikan hak penjagaan anak perempuannya yang berusia empat tahun.

Hal itu juga menyebabkan dia keberatan untuk menuntut alimoni dan nafkah anak melebihi kadar minimum. Dia bimbang suaminya akan menukar fikiran jika dia berbuat demikian. Kedua-duanya tinggal dan bekerja di Itali.

“Bagi saya, hak penjagaan anak lebih penting daripada duit,” katanya.

“Tidak mengapa, saya sedia bekerja keras dan berusaha mencari nafkah yang lebih banyak,” tambahnya. 

Mawar dan Li telah memohon kerakyatan untuk anak mereka – seorang ditolak sementara seorang lagi masih menunggu keputusan. Selepas bertahun-tahun memperjuangkan isu itu, keadaan mungkin berubah untuk mereka dan wanita lain yang senasib.

Sentimen masyarakat selalunya memihak kepada si ibu. Ramai, termasuk mereka yang ada dalam kerajaan, mengakui kesukaran yang dihadapi oleh wanita terbabit. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun adalah antara yang meluahkan rasa simpati mereka secara terbuka.

Sedang diusahakan

Pada masa ini, perkembangan isu itu dilihat dalam dua konteks iaitu kehakiman dan perundangan.

Dari segi kehakiman, kerajaan Malaysia sedang menunggu pencerahan tentang takrifan perkataan “bapa” dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada perlu ditakrifkan sebagai “ibu bapa” dalam konteks penganugerahan kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

“Mengambil kira dua keputusan mahkamah yang berbeza, dengan kes Mahisha kini di peringkat Mahkamah Rayuan, Kabinet bersetuju untuk meneruskan rayuan selain memohon penangguhan pelaksanaan keputusan dalam kes Suriani yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi,” kata Hamzah pada sidang media 24 Sept lepas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat dua keputusan berbeza berhubung hak wanita dalam penganugerahan kerakyatan kepada anak mereka yang lahir di luar negara — kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed pada 21 Mei 2020 dan kes terbaharu, Suriani Kempe serta enam lagi pada 9 Sept lepas.

Dalam kes pertama, Mahisha menghujahkan bahawa istilah “bapa” sebagai orang yang ada hak untuk menganugerahkan kerakyatan melalui pertalian darah boleh ditakrifkan sebagai “ibu bapa”.  Mahkamah yang tidak bersetuju dengan hujah itu menyatakan jika penggubal Perlembagaan Persekutuan berhasrat mentakrifkan istilah tersebut sebagai ibu atau bapa, mereka boleh menggunakan frasa “yang ibu atau bapanya”, dan sehubungan itu Mahisha tidak ada hak untuk memberikan kerakyatan.

Dalam kes kedua, Suhaini berhujah bahawa pemberian hak penganugerahan kerakyatan kepada bapa warga Malaysia semata-mata adalah bersifat diskriminasi, justeru hak itu harus turut diberikan kepada ibu. Mahkamah yang bersetuju, berkata “istilah bapa itu turut bermaksud ibu” dan meminta kerajaan memanjangkan hak berkenaan kepada wanita. 

Kerajaan memfailkan rayuan terhadap kes Suhaini sementara menunggu keputusan rayuan Mahisha. Peguam yang mewakili Mahisha memberitahu Bernama mereka bercadang membawa kes wanita itu ke Mahkamah Persekutuan jika perlu.

Proses itu bagaimanapun mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai.

Pada masa sama, kerajaan mengumumkan hasratnya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan agar lebih mudah ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing, menganugerahkan kerakyatan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

“Pada mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini, kami menjemput Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun memberikan penjelasan. Kabinet juga telah meminta beliau mempersembahkan isu itu ke hadapan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam masa terdekat,” kata Hamzah pada sidang media yang sama.

Keputusan mesyuarat Kabinet itu adalah langkah pertama. Seterusnya, kerajaan perlu mendapatkan perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu. Selepas mendapat perkenan,  satu rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen bagi meminda peruntukan berhubung kerakyatan. Rang undang-undang itu memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen untuk diluluskan. Bagaimanapun, bila rang undang-undang tersebut akan dibentangkan, dan sama ada dapat diluluskan atau tidak, kesemua itu belum dapat dipastikan.  

Pada 26 Okt lepas, Kementerian Dalam Negeri melaporkan hanya 21 kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara diberikan kerakyatan, atau 0.89 peratus daripada 2,353 permohonan yang diterima dalam tempoh  2018 hingga  11 Okt 2021. Setakat ini, 31 permohonan ditolak sementara yang lain pula masih belum diputuskan. 

Terdahulu, kementerian itu melaporkan 142 kanak-kanak diberikan kerakyatan sepanjang 2013 hingga 2018, sementara 3,715 permohonan ditolak dan 4,959 kes masih belum diputuskan. Ini bermakna, hanya 1.6 peratus daripada permohonan tersebut diluluskan.


Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda.

Sumber: https://www.bernama.com/bm/b_fokus/news.php?id=2017938. Diarkib di https://perma.cc/23G2-TZKH.