Oleh Muhammad Azizul Osman | Malaysia Gazette


Datuk Seri Hazani Ghazali

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang baharu diwujudkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Hazani menjadi ketua pengarah pertama kerana bertanggungjawab menubuhkan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Beliau juga dipilih atas kecemerlangan dan komitmen dalam  menjaga keselamatan dan ketenteraman negara sebelum  dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada tahun 2020,” katanya dalam sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri petang tadi.

Saifuddin Nasution berkata, Hazani dipilih berdasarkan pengalaman luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

Hazani juga akan bertanggungjawab memastikan MCBA mencapai visi, misi dan objektif menerusi pelaksanaan fungsi berdasarkan Akta Tubuh MCBA serta dasar kerajaan berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, Rang Undang-Undang MCBA dijangka dibentangkan dalam Sesi Parlimen pada bulan Mac depan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Januari lalu bersetuju menubuhkan MCBA dan pengoperasiannya pula akan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“MCBA adalah agensi kerajaan barisan hadapan di pintu-pintu masuk negara termasuk pelabuhan dan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan dan pemeriksaan secara bersepadu di pintu masuk darat, laut dan udara termasuk pelabuhan.

“Secara umumnya MCBA berperanan menguatkuasa undang-undang mengawal kebolehterimaan (keluar dan masuk orang, barangan, kenderaan dan kargo di pintu masuk negara,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution akan menunggu keputusan mahkamah terhadap seorang pemimpin pembangkang Bangladesh, MA Quayum.

Justeru itu, beliau berkata, Jabatan Imigresen (JIM) tidak akan membebaskan beliau sehingga mahkamah membuat keputusan.

“Jabatan Imigresen akan kekal dengan keputusan mahkamah dimana pendengar akan dibuat 5 April depan.

“Saya sudah menghubungi peguam Quayum bahawa JIM akan patuh proses mahkamah sehingga keputusan dibuat mengenai status beliau,” katanya lagi.

JIM hari ini memberi persetujuan kepada permohonan dikemukakan di mahkamah untuk tidak mengusir Quayum.

Persetujuan JIM itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi melalui aku janji diberikan wakil dari Jabatan Undang-undang JIM, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Amalina Ismail.

Sebelum itu, peguam Quayum, Edmund Bon memohon aku janji itu berkenaan bagi membolehkan mereka menunggu keputusan permohonan habeas corpus ahli politik terbabit yang dijadual untuk didengar pada 5 April ini.


Sumber: https://malaysiagazette.com/2024/01/31/hazani-dilantik-ketua-pengarah-agensi-pintu-masuk-dan-sempadan-malaysia/