Oleh Mahani Ishak | Berita Harian


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bergambar bersama menteri-menteri luar ASEAN ketika Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ di KLCC. — NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Deklarasi ASEAN Mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Lestari menerima sokongan kukuh untuk diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung Oktober ini di ibu negara.

Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon Tai Soon, berkata sokongan itu diterajui oleh Malaysia dalam usaha menangani isu perubahan iklim yang semakin mendesak di rantau ini.

“Beberapa isu utama sedang menjadi tumpuan kami tahun ini selari peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Antara isu paling mendesak ketika ini ialah perubahan iklim yang telah memberi kesan besar kepada rantau ini termasuk peningkatan bilangan pelarian iklim (climate refugees) dan individu yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkaitan cuaca,” katanya kepada media.

Terdahulu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata menyampaikan ucaptama dan mempengerusikan Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil AICHR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Edmund yang juga Pengerusi AICHR 2025, berkata suruhanjaya sedang merangka Deklarasi ASEAN Mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Lestari yang bertujuan menangani isu perubahan iklim secara menyeluruh.

“Malaysia menerajui usaha ini dan jika diterima, deklarasi ini akan menjadi deklarasi hak asasi manusia kedua dalam sejarah ASEAN selepas Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN yang diterima pada 2012.

“Rundingan berkaitan deklarasi ini telah berlangsung selama dua tahun dan mengandungi prinsip penting berkaitan hak asasi, antaranya hak untuk penyertaan awam dalam hal ehwal alam sekitar iaitu hak membuat keputusan, kebebasan maklumat dan akses kepada keadilan.

“Sebagai contoh, jika berlaku pencemaran, apakah mekanisme yang boleh digunakan… deklarasi ini boleh memberi panduan yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, deklarasi itu mengandungi prinsip-prinsip utama berkaitan hak asasi manusia termasuk hak untuk penyertaan awam, hak terhadap maklumat, keadilan alam sekitar dan kebebasan maklumat.

“Deklarasi kedua yang sedang digerakkan di bawah kepengerusian Malaysia ialah deklarasi bagi mempromosikan hak kepada pembangunan dan hak kepada keamanan, ke arah pembangunan yang inklusif dan lestari.

“Di bawah Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN, terdapat satu hak khusus yang tidak terkandung dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat iaitu hak kepada pembangunan.

“Hak ini amat istimewa bagi ASEAN kerana ia merangkumi bukan sahaja pembangunan ekonomi, tetapi juga pembangunan politik, sosial dan budaya,” katanya.

Justeru katanya, sekiranya deklarasi itu dapat dimuktamadkan pada sidang kemuncak Oktober, ia akan menjadi satu lagi deklarasi bersejarah ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia.

“Melaluinya juga jika ia berjaya direalisasikan, Malaysia akan mencatat pencapaian penting dengan ASEAN menerima dua deklarasi hak asasi manusia dalam satu tahun iaitu buat kali pertama selepas 13 tahun.

“Ini amat bermakna buat seluruh rakyat ASEAN kerana deklarasi ini boleh dijadikan rujukan dan digunakan sebagai satu bentuk hak yang sah dan nyata.

“Inilah matlamat AICHR di bawah kepimpinan tahun ini untuk mendekatkan hak asasi manusia kepada rakyat dan menjadikan ia sesuatu yang boleh digunakan secara praktikal.

“Hak asasi bukan sekadar dokumen atas kertas atau bahan perbincangan semata-mata. Ia mesti menjadi nyata dan relevan kepada semua,” katanya.


Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1417358/deklarasi-asean-mengenai-hak-kepada-alam-sekitar-dapat-sokongan. Diarkibkan di https://perma.cc/4SRZ-V9QA