Oleh Ilah Hafiz Aziz | Berita Harian

Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) yang bakal diletakkan dalam perundangan penguatkuasaan negara ini, khususnya berkaitan antirasuah menerima reaksi bercampur mengenai kelebihan dan kelemahannya.
Ketika pandangan yang pro kepada cadangan itu menyatakan DPA berupaya membawa balik wang yang dicuri kepada negara dengan cepat, sebahagian lain khuatir ia menjadi ‘jalan mudah’ golongan kaya dan kenamaan daripada disabitkan kesalahan jenayah.

DPA ialah suatu perjanjian di antara pihak pendakwaan dengan sesebuah organisasi atau syarikat yang terbabit dalam kesalahan rasuah yang besar.
Menerusi perjanjian itu, pendakwaan terhadap organisasi berkenaan boleh ditangguhkan dengan syarat pihak yang berdepan siasatan dan tindakan bersetuju memenuhi beberapa terma dan syarat tertentu.
DPA antara lain dapat mempercepat pemulihan aset dan dana yang diselewengkan, terutama bagi kes rasuah berskala besar yang membabitkan jumlah wang yang banyak, selain mengelak perbicaraan yang panjang dan rumit, serta mengambil masa dan sumber besar.
Ia dijangka memperkasa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang ketika ini menggunakan tindakan melalui Seksyen 40 dan 41 Akta SPRM 2009; atau Seksyen 55 dan 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001).
Penguatkuasaan akta ini juga mengukuhkan ‘liabiliti korporat’ melalui Seksyen 17A untuk membanteras penyelewengan dalam sektor swasta dan korporat.
Kewujudan undang-undang ini juga dilihat mampu membantu penguat kuasa seperti SPRM membongkar jaringan rasuah lebih besar, selain menjimatkan masa mahkamah yang sebelum ini terpaksa mengharungi proses perbicaraan yang panjang dan mahal.
Entiti atau syarikat yang disiasat juga memperoleh ‘peluang kedua’ untuk membaiki tatakelola dan sistem kawalan dalaman mereka, selepas membayar pampasan atau denda untuk mengembalikan kerugian kepada negara.
Di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis dan Kanada, perjanjian perundangan ini sudah memperlihat kejayaan dalam menangani rasuah korporat, penipuan dan kesalahan kewangan mega.
Penganalisis rasuah yang juga Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir, berkata DPA menjadi alternatif sesuai kepada negara untuk mendapatkan semula wang rakyat yang diseleweng dengan segera.

Beliau berkata, kes membabitkan ‘rasuah mega’ membabitkan sejumlah wang yang besar dan akan mengambil masa sekiranya dibawa ke mahkamah.
“Dalam kes rasuah mega, antara usaha yang penting ialah mengembalikan semula wang rakyat yang dicuri dan DPA dilihat sesuai untuk dilaksanakan pihak berkuasa seperti SPRM.
“Bagaimanapun pesalah yang mencuri wang dan dana ini tetap tidak boleh terlepas dan disebabkan itu, DPA dirangka melalui syarat-syarat tertentu yang tidak hanya menyebelahi satu pihak,” katanya kepada BH.
Salawati berkata, walaupun ada kekhuatiran pelaksanaan DPA mungkin dilihat sebagai ‘jalan pintas’ yang membolehkan pesalah terlepas tanpa hukuman, ia tetap perlu dipertimbang secara kontekstual dan berpandukan perundangan sedia ada.
Beliau berkata perbahasan di Parlimen ialah ruang terbaik untuk menilai keberkesanan dan kebolehgunaan mekanisme ini, dengan syarat ia dilaksanakan tanpa kompromi terhadap prinsip keadilan.
Peguam kanan yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Fahmi Abd Moin, berkata cadangan pindaan Akta SPRM untuk DPA ialah pembaharuan yang bertujuan memberikan pilihan kepada suruhanjaya itu dalam menangani masalah mendapatkan kembali dana yang diseleweng akibat perlakuan rasuah atau salah guna kuasa oleh mana-mana entiti atau syarikat yang disiasat.
“Dalam keadaan semasa, sukar untuk SPRM menggunakan undang-undang yang sedia ada, sama ada mengikut Akta SPRM atau AMLATFAPUAA bagi mendapatkan kembali dana atau aset yang sudah hilang itu.
“Ini disebabkan ia mungkin sudah disalurkan ke luar negara, digubah atau diletakkan dalam pelbagai keadaan bagi mengelakkan daripada dilucut hak,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan, mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memulakan atau menamatkan sesuatu pendakwaan kesalahan jenayah diberikan sepenuhnya kepada pendakwa raya, iaitu Peguam Negara.
Katanya, SPRM mungkin mencadangkan, tetapi keputusan akhir untuk menerima cadangan itu terletak kepada kuasa pendakwa raya, tetapi pelaksanaan DPA ini sedikit sebanyak akan mengambil kuasa Peguam Negara (AG) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pada pandangan saya, cadangan memperkenal DPA ini dilihat sebagai mengehadkan kuasa yang ada kepada AG sebagai pendakwa raya kerana ada kemungkinan tinggi pihak SPRM akan mencadangkan perlu dibuat perjanjian pendakwaan tertunda.
“Ini membimbangkan kerana cadangan dan nasihat datang daripada pihak agensi siasatan sahaja dan terdapat ruang untuk salah guna kuasa kerana ketiadaan elemen semak dan imbang,” katanya.
Bagaimanapun, peguam kanan, Datuk Amer Hamzah Arshad, khuatir DPA boleh menjadi ‘jalan mudah’ golongan kaya dan kenamaan daripada disabitkan kesalahan jenayah.
Bimbang jadi lesen elit lepas diri
Katanya, DPA yang dicadangkan, secara dasarnya memberi ruang untuk kumpulan yang disabitkan kesalahan penyelewengan dan rasuah mega itu untuk tidak mengaku secara terbuka di mahkamah.
Beliau berkata, antara kebimbangan utama ialah kemungkinan penyalahgunaan oleh entiti dan syarikat besar yang mungkin melihat DPA sebagai ‘lesen’ untuk terus melakukan kesalahan, disebabkan kebebasan yang bersifat ‘boleh dibeli’.
Katanya, SPRM juga boleh terdedah kepada tekanan politik, terutama apabila berurusan dengan tokoh berpengaruh atau syarikat berkepentingan.
“DPA boleh dipersoalkan keberkesanannya dalam mencegah jenayah (deterrent effect) termasuk ketidakpastian undang-undang, sekiranya syarat-syarat DPA tidak dipatuhi. Ini sudah tentu boleh merumitkan proses pendakwaan.
“Oleh demikian, saya berpandangan DPA hanya boleh dianggap wajar jika dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan kawal selia yang ketat.
“Jika tidak, ia akan melemahkan sistem keadilan dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang,” katanya kepada BH.
Bagaimanapun, Amer mengakui, kewujudan DPA membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam menangani kes rasuah dan jenayah kewangan berprofil tinggi, terutama membabitkan syarikat besar.
Katanya, antara kelebihan pelaksanaan DPA termasuk berkaitan kerjasama dan pendedahan maklumat, iaitu entiti atau syarikat yang disiasat cenderung membantu siasatan dan membongkar rangkaian rasuah yang lebih luas demi mengelakkan pendakwaan.
“Ia juga akan menjimatkan masa dan kos mahkamah, dengan SPRM boleh menumpukan sumber kepada kes-kes lebih kritikal tanpa menunggu perbicaraan panjang.
“Reformasi tadbir urus akan berlaku, iaitu entiti yang terbabit boleh memperbaiki sistem dalaman serta mematuhi langkah pencegahan rasuah sebagai sebahagian daripada syarat DPA.
“Malah, syarikat besar yang penting kepada ekonomi negara dapat terus beroperasi tanpa tergugat oleh tindakan undang-undang yang berpotensi menjejaskan pekerjaan dan pelaburan,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1425559/baik-buruk-dpa


