Oleh Farah Nabilah Wazer, dan Afrina Romzi | Buletin TV3

Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) kini sedang membangunkan satu rangka kerja bagi menangani konflik kemanusiaan di rantau Asia Tenggara secara lebih tersusun.
Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon berkata, usaha itu penting agar pendekatan ASEAN dalam menangani isu seperti di Myanmar tidak lagi bersifat sementara atau tidak terancang.
“AICHR telah memulakan kerja pembangunan rangka kerja dan ia akan mengambil sedikit masa. Tetapi kami akan menggunakan mekanisme ASEAN sedia ada untuk melihat bagaimana kita boleh menambah baik pendekatan itu.
“Kami mahu wujudkan satu ‘template’ ASEAN, agar bila berlaku konflik, sama ada dalam sesebuah negara atau antara negara anggota, kita ada pendekatan bersama, bukan bertindak secara terpencil,” katanya.
Mengulas konflik di Asia Barat, beliau berkata, meskipun AICHR prihatin terhadap konflik di Gaza, Palestin dan Ukraine, bidang kuasa suruhanjaya hanya meliputi Asia Tenggara.
Edmund turut memaklumkan, AICHR sedang melaksanakan beberapa program untuk merangka pelan damai serantau serta mewujudkan mekanisme rasmi bagi menangani sebarang aduan berkaitan pelanggaran hak asasi manusia.
“Walaupun kuasa kami terhad, kami sedang meneliti langkah menubuhkan satu sistem untuk menerima dan meneliti surat aduan berkaitan hak asasi serta mencari jalan penyelesaian. Perkara ini juga telah dibawa ke perhatian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demkian kepada media selepas Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil AICHR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Sumber: https://www.buletintv3.my/nasional/aichr-bentuk-kerangka-asean-tangani-konflik-kemanusiaan/. Diarkibkan di https://perma.cc/S4ZX-LHKQ


