Oleh Fuad Hadinata Yaacob | Harian Metro


SOAN (dua dari kiri) dan Chin (dua dari kanan) dibawa ke mahkamah.

Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap enam pertuduhan termasuk menculik pengurus kilang wanita, awal bulan ini.

Chin Kit Loong, 27, dan Soan Chung Wei, 26, kedua-duanya bekerja sebagai juruelektrik membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin, di sini, semalam.

Dalam pertuduhan pertama, mereka secara bersama-sama melarikan Yap Kar Yee, 28, dengan niat hendak mengurung wanita itu dengan sulit dan salah di hadapan IGB International School, Jalan Sierramas Utama, Sierramas, Sungai Buloh pada jam 6.40 petang, 10 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan khianat dengan sengaja menyebabkan cedera parah iaitu mencampakkan Kar Yee keluar dari sebuah van di selekoh berhampiran Depoh Simpanan Pertahanan Sungai Buloh, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor, jam 6.40 petang, 10 Januari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 325 KK yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

Dalam pertuduhan ketiga, mereka bersama-sama di hadapan IGB International School, Jalan Sierramas Utama, Sierramas Sungai Buloh pada jam 6.40 petang, 10 Januari lalu melanggar kereta dipandu Kar Yee jenis BMW X1 milik Alpha Sofas Sdn Bhd yang menyebabkan kerosakan bernilai RM500.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, mereka secara bersama didakwa melakukan khianat dengan sengaja melanggar kereta jenis Perodua Myvi milik Suzylianna Hamzah, 36, dan sebuah lori jenis Daihatsu milik Syarikat Yew Seong Motor Works yang digunakan Doni Candra Zulasri, 44, berhampiran Restoran Steak House Paya Jaras, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor pada jam 6.45 petang, 10 Januari lalu.

Bagi pertuduhan keenam, mereka didakwa melakukan khianat dengan sengaja melanggar motosikal Yamaha FZ150 nombor pendaftaran W 9653 P milik Abd Halim Mustaqim Zakaria, 26, di lokasi dan hari sama pada jam 6.50 petang.

Bagi pertuduhan ketiga, keempat, kelima dan keenam, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwani Marizan menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela bagi Chung Wei, Edmund Bon dan Joshua Tay memohon pengurangan jaminan dengan alasan anak guam mereka ketika ini menyara keluarga, tidak berkemampuan dan tiada rekod jenayah lampau.

Siti Shakirah kemudian menetapkan jaminan RM14,000 bagi kedua-dua tertuduh dan menetapkan 3 Februari ini untuk serahan semula dokumen.

Keluarga kedua-dua tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan.

Kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial selepas sekumpulan orang awam di sekitar kawasan kejadian berjaya menahan dua lelaki yang didakwa menculik seorang wanita bagi menuntut wang tebusan RM5 juta di hadapan sebuah sekolah antarabangsa di Sungai Buloh.


Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/01/199197/6-tuduhan-khianat