Oleh Noor Azlida Alimin | Sinar Harian


Wan Saiful — AWANI

Pasukan pembelaan Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa pihaknya telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perundangan membabitkan dua pertuduhan rasuah dihadapinya.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob, peguam Amer Hamzah Arshad mewakili bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, surat berkenaan telah diserahkan melalui e-mel pada Selasa lalu.

“Kami mahu pihak pendakwaan meneliti isu yang dibangkitkan dalam surat tersebut dan kami mengambil langkah yang sepatutnya kerana ia membabitkan pertuduhan yang akan dibicarakan di mahkamah,” katanya pada pengurusan kes pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Muhammad Ali berkata, surat berkenaan telah diterima pada Rabu lalu.

“Ia akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan dan kami akan memberi maklum balas mengenai perkara ini dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat itu diterima,” katanya.

Susulan itu, pihaknya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes bagi memaklumkan perkembangan mengenai surat tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa dokumen berkaitan perbicaraan belum diperoleh daripada pihak bank.

Hanya selepas menerima maklumat berkenaan, beliau berkata, ia akan diserahkan kepada pihak pembelaan.


Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/257450/berita/semasa/wan-saiful-hantar-surat-kepada-sprm