Oleh Kasthuri Jeevendran | Malaysia Gazette

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu transaksi berjumlah RM19.5 juta yang disalurkan oleh Mamfor Sdn Bhd kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditandakan sebagai mencurigakan susulan kekerapan dan jumlahnya, namun tidak secara automatik menyalahi undang-undang.
Saksi kesembilan pendakwaan, penolong pengurus di Bank Muamalat cawangan PKNS Shah Alam, Norazeanti Miswan, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela Datuk Amer Hamzah Arshad dalam sesi pemeriksaan balas di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nordin.
Menurut beliau, walaupun terdapat ‘red flags’ dalaman, semua transaksi berkenaan tetap diproses dan diluluskan selepas melalui prosedur bank.
Norazeanti turut mengesahkan tiada arahan daripada ibu pejabat bank untuk menghentikan urus niaga melibatkan Mamfor, meskipun beberapa laporan aktiviti mencurigakan telah difailkan.
Jelasnya, pada masa sama, tiada tindakan diambil terhadap syarikat tersebut.
Dalam keterangannya, beliau berkata pihak bank hanya akan menolak sesuatu transaksi sekiranya pelanggan gagal membuat pendedahan yang jujur, namun keadaan itu tidak timbul dalam kes ini.

Saksi itu juga mengakui setiap transaksi disertakan dengan dokumen sokongan termasuk surat daripada syarikat yang menyatakan sumbangan tersebut adalah kepada parti dan bukannya kepada individu.
Surat-surat berkenaan dialamatkan kepada bendahari Bersatu dan bukan kepada presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain salinannya turut diberikan kepada pihak bank sebagai rujukan.
Beliau turut bersetuju kaedah pembayaran melalui borang kiriman wang dan cek jurubank memerlukan tujuan transaksi diisytiharkan, ini menunjukkan ketelusan dalam urus niaga tersebut.
Norazeanti juga bersetuju parti politik dan presidennya adalah dua entiti berasingan, serta harta parti tidak boleh dianggap sebagai milik individu.
Ketika ditanya lanjut, beliau mengekalkan bahawa berdasarkan dokumen yang dikemukakan, sumbangan tersebut adalah untuk Bersatu dan bukan kepada Presiden Bersatu secara peribadi.
Semalam, mahkamah diberitahu Mamfor menyalurkan RM19.5 juta melalui 29 cek jurubank kepada Bersatu antara 2021 hingga 2022.
Prosiding bersambung pada 25 Mei depan.
Muhyiddin berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM225.3 juta bagi parti daripada beberapa pihak. –MalaysiaGazette


