Oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia


TYT Edmund Bon Tai Soon, Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Wakil Malaysia ke AICHR, akan menganjurkan dua perbincangan penting berkaitan hak asasi manusia di peringkat serantau.

Pada 28 April 2025, AICHR akan mengadakan Perbincangan Kali Kedua Mengenai Hak Kepada Pembangunan, yang bertujuan memperkukuh Komuniti ASEAN dengan merealisasikan Perkara 35 Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012. Sesi berikutnya akan berlangsung pada 29 April 2025, melibatkan Perbincangan Serantau AICHR bagi menyokong pembangunan Rangka Pelan Tindakan Lima Tahun AICHR (2026–2030) selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategiknya.

Perbincangan-perbincangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia dalam menerajui ASEAN pada tahun ini dan memperkukuh komitmen AICHR dalam membentuk agenda hak asasi manusia yang berteraskan rakyat, berorientasikan masyarakat dan berpandangan jauh.

Di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, hak kepada pembangunan adalah ditekankan sebagai asas hak asasi manusia bagi memastikan setiap individu di ASEAN dapat menyertai, menyumbang dan menerima manfaat daripada kemampanan ekonomi, sosial, budaya dan kemajuan politik. Pembangunan hendaklah memenuhi keperluan generasi kini dan akan datang tanpa menjejaskan hak asasi manusia.

Berpandukan kepada prinsip ini, AICHR akan meneruskan usaha dalam membangunkan Komuniti ASEAN dengan memajukan program-program inklusif, mampan dan responsif gender yang bertujuan membasmi kemiskinan, melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar, serta merapatkan jurang pembangunan di seluruh rantau ini.

Perbincangan utama akan bertumpu kepada rundingan lanjut terhadap cadangan Malaysia mengenai satu Deklarasi ASEAN mengenai Promosi Hak Kepada Pembangunan dan Keamanan ke Arah Mencapai Pembangunan Terangkum dan Mampan, yang mencerminkan pendekatan “ASEAN-led, ASEAN-owned”, “whole-of-ASEAN” bagi memajukan kerjasama hak asasi manusia.

Sesi perbincangan tematik akan menonjolkan hubung kait antara hak asasi manusia, keamanan dan hak kepada pembangunan, di mana delegasi merangka strategi-strategi bagi memperkukuh perlindungan hak tersebut dalam semua dimensi ekonomi, sosial, budaya dan politik.

Perbincangan ini akan turut membantu dalam penyediaan Rangka Pelan Tindakan Lima Tahun AICHR yang akan memberikan penekanan terhadap pengukuhan perlindungan hak asasi manusia dan keterlibatan bersama para pemegang taruh di seluruh ASEAN.

Ucaptama akan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Suhaimi Jaafar, Setiausaha Bahagian (Tugas-tugas Khas), Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025 dan Professor Dr Surya Deva, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kepada Pembangunan.

Delegasi yang hadir adalah termasuk wakil-wakil dari AICHR, badan-badan sektoral ASEAN, pertubuhan masyarakat sivil dan pakar-pakar hak asasi manusia.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh agenda hak asasi manusia ASEAN dan menyokong visi ASEAN ke arah masa depan yang aman, terangkum dan mampan.

Putrajaya
27 April 2025


Sumber: https://www.kln.gov.my/web/guest/-/malaysia-to-spearhead-asean-human-rights-agenda-through-two-strategic-consultations-on-advancing-the-right-to-development-and-formulating-a-human-righ. Diarkib di https://perma.cc/XPN4-XWM3

The English version of this press release is available here.