Oleh Malaysiakini


Peguam New Sin Yew mengkritik serbuan Kementerian Dalam Negeri terhadap produk jam Swatch yang meraikan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), berkata tindakan penguatkuasa itu menyalahi undang-undang.

“Dilaporkan serbuan dilakukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA).

“Untuk Kementerian Dalam Negeri melakukan serbuan itu, terlebih dahulu perlu ada perintah ‘Penerbitan Larangan’.

“Penerbitan Larangan bermaksud penerbitan yang menjejaskan ketenteraman awam, moral, keselamatan, kepentingan awam atau negara,” kata New (gambar, bawah) pada ciapan di Twitter.

Dia berkata untuk serbuan sebegitu dijalankan, menteri dalam negeri perlu terlebih dahulu membuat perintah bahawa Swatch Pride Collection adalah “Penerbitan Larangan” dan perintah itu kemudiannya terbuka untuk dicabar di mahkamah kerana “tidak rasional, bersifat sewenang-wenangnya dan melanggar perlembagaan” .

“Perintah ini kemudiannya mesti disiarkan dalam warta.

“Tiada perintah sedemikian. Laman web Jabatan Peguam Negara tidak menunjukkan sebarang warta mengenai hal ini,” kata New, sambil menambah bahawa Swatch harus menyaman Kementerian Dalam Negeri dan semua pegawai yang bertanggungjawab untuk bertindak dengan sewenang-wenangnya.

Terdahulu, Kumpulan Swatch berkata firma itu kecewa dan prihatin dengan rampasan jam tangan berwarna pelangi yang meraikan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Kami lantang mencabar bahawa koleksi jam tangan kami yang menggunakan warna pelangi dan membawa mesej keamanan serta kasih sayang boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja,” kata ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Nick Hayek dalam satu kenyataan kepada Reuters.

Ini susulan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang merampas jam tangan Swatch itu semasa serbuan pada 13 dan 14 Mei lalu.

Adalah dilaporkan bahawa pegawai KDN menyerbu kedai Swatch di Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88, dan Suria Sabah.

Selanjutnya, lima lagi kedai Swatch diberi amaran — KTCC (Terengganu), Aeon KB, Aman Central Kedah, City Square, dan Viva City Kuching.

Jam tangan “Koleksi Pride” pembuat jam tangan Switzerland itu dicipta untuk meraikan pergerakan “pride” dan membawa mesej kesamarataan dan kepelbagaian.

Warna-warni pelangi melambangkan pergerakan LGBT, yang menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks.

Syarikat itu berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula jam tangan tersebut, lapor akhbar Switzerland Tages-Anzeiger.


Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/666362