Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Berita Harian
Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau diarah untuk menyediakan lima surat daripada syarikat berbeza kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi permohonan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis Sdn Bhd, Aliza Abdul Malek, 47, berkata beliau menyediakan lima surat berkenaan atas arahan pemilik syarikat terbabit, Lian Tian Chuan atau dikenali sebagai TC Lian.
Beliau berkata, semua surat disediakan itu bagi permohonan projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor di bawah Projek Jana Wibawa.
Katanya, selain menyediakan surat permohonan bagi Nepturis, beliau juga menyediakan surat bagi syarikat Permata Rebana Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, JM Letrik Sdn Bhd dan MZ Hakujaya Sdn Bhd.
“Saya tidak tahu surat ini diserahkan kepada siapa atau dengan siapa TC Lian berurusan bagi menyerahkan surat berkenaan.
“TC Lian tidak pernah memberitahu atau menceritakan kepada saya dengan siapa beliau berurusan atau berhubung dalam urusan permohonan ini,” katanya menjawab soalan peguam Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad pada sesi pemeriksaan balas hari ini.
Aliza yang juga saksi pendakwaan ke-13, berkata semua empat syarikat itu adalah rakan perniagaan TC Lian.
Beliau bersetuju tindakan menyediakan lima surat berbeza adalah untuk menunjukkan semua syarikat berkenaan tiada kaitan antara satu sama lain.
Amer Hamzah: Kandungan surat, susun kata dan perenggan semua tak sama walaupun semua disediakan oleh kamu, setuju?
Aliza: Ya
Amer Hamzah: Yang terima akan anggap ia daripada syarikat berbeza, setuju?
Aliza: Ya
Nepturis adalah syarikat yang dikaitkan dengan pertuduhan terhadap Muhyiddin yang berdepan tujuh tuduhan menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan Projek Jana Wibawa.
Sementara itu, Aliza yang membacakan pernyataan saksinya, berkata syarikat itu dianugerahkan tawaran tender RM141 juta berhubung projek pembinaan IPD Klang Utara, Selangor.
Beliau berkata, syarikatnya menerima e-mel pada 26 Mac 2021 daripada Kementerian Kewangan (MoF) berkenaan Penilai Jana Wibawa- Penilaian Pra-Kelayakan untuk projek Jana Wibawa.
“Saya hanya tahu ini projek Jana Wibawa melalui e-mel berkenaan. Saya mengesahkan memaklumkan kepada seorang lagi pengarah, Mohd Rizman Akum Khan dan TC Lian berkenaan perkara ini.
“Selepas itu, saya memaklumkan kepada staf untuk menguruskan dokumentasi yang diperlukan untuk dihantar kepada pihak MoF.
“Selepas siap disediakan, saya mengesahkan menyerahkan kepada runner syarikat untuk menyerahkan dokumen pra-kelayakan kepada MoF di bahagian kaunter untuk tujuan penyerahan mengikut tarikh dan waktu ditetapkan,” katanya.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam keterangan sebelum ini, berkata terdapat catatan minit Muhyiddin dalam surat iringan bagi lima syarikat berhubung Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.
Beliau berkata, berdasarkan minit itu, syarikat disenaraikan perlu dibuat perolehan secara pra-kelayakan oleh MoF dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, surat berkenaan menyatakan lima syarikat iaitu MZ Hakujaya Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, Permata Rebana Sdn Bhd dan JM Letrik Sdn Bhd.
Sementara itu, Aliza berkata, Nepturis kemudian diminta menghantar dokumen tender berkenaan kepada JKR.
Saksi itu mengesahkan JKR mengeluarkan surat niat bagi projek IPD Klang Utara pada 10 Disember 2021 dan selang beberapa hari, beliau menandatangani persetujuan dengan harga ditawarkan JKR.
“Saya sahkan juga, Surat Setuju Terima dikeluarkan JKR pada 12 Januari 2022,” katanya.
Beliau turut mengesahkan sejak Nepturis memperoleh projek itu, terdapat bayaran dibuat kepada sub-kontraktor yang diuruskannya melalui cek syarikat ditandatanganinya atau Mohd Rizman atau melalui pindahan wang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.



