Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Berita Harian

Dua rakaman audio dan visual daripada laman sosial TikTok yang didakwa memaparkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap mengenai sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun BERSATU, dikemukakan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah dan pengubahan haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Kedua-dua rakaman berkenaan yang diambil daripada akaun TikTok @puterishantek dan @wanhadi21 bertarikh 16 Januari 2025 dan 26 Julai tahun sama turut dimainkan dan ditayangkan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syawaludin Said, yang memberikan keterangan memberitahu mahkamah, beliau diarahkan pegawai penyiasat, Mazery Mohd Zaini untuk memuat turun rakaman audio dan tangkap layar video berkenaan.
Rakaman audio yang dimuat turun daripada akaun TikTok @puterishantek berbunyi: “Tuduhan pada saya ialah saya salah guna kuasa. Tuduhan pada saya, saya terima rasuah. mana saya terima, wallahi satu sen pun tak masuk poket saya, dia masuk pada parti.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, pada sesi pemeriksaan utama, saksi itu berkata, rakaman audio suara Muhyiddin menafikan menerima rasuah dan duit masuk parti.
“Saya boleh sahkan ia suara Muhyiddin kerana beliau pernah menjadi Perdana Menteri kelapan pada tahun 2020 dan 2021… saya cam suara dia,” katanya.
Rakaman kedua video daripada akaun TikTok @wanhadi21 pula memaparkan gabungan dua video dalam satu memaparkan Muhyiddin berkemeja T hitam dan bertopi dan memakai baju Melayu biru dan bersongkok.
Video bahagian atas menunjukkan Muhyiddin memakai kemeja T antara lain mengucapkan: “Yang saya hadapi tuduhan bukan kerana saya rasuah. Parti saya dapat duit. Dia tuduh saya ambil duit”
Video bahagian bawah pula menunjukkan Ahli Parlimen Pagoh yang berbaju Melayu mengulangi kenyataan yang sama.
Bagaimanapun, disoal balas bertalu-talu oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi pendakwaan pertama itu mengakui bahawa beliau tidak menyiasat siapa yang memasukkan kapsyen, geolokasi dan tanda pagar (hashtag) dalam video berkenaan.
Amer Hamzah juga mencadangkan bahawa rakaman terbabit disunting dan diubah, dan ia dipersetujui oleh saksi itu.
Amer Hamzah: Adakah kamu pernah dengar mengenai AI (kecerdasan buatan)?
Mohd Syawaludin: Ya.
Amer Hamzah: Jika kamu tidak menyiasat ketulenannya, bolehkah kamu beritahu sama ada video ini dijana oleh AI atau tidak?
Mohd Syawaludin: Saya tidak boleh.
Amer Hamzah: Saya katakan TikTok bukan bukti yang boleh dipercayai.
Mohd Syawaludin: Saya tidak bersetuju.
Mohd Syawaludin yang kemudian disoal oleh Amer Hamzah mengenai kedua-dua pemilik akaun TikTok itu berkata, beliau tidak menyiasat dan mengesan kedua-dua individu berkenaan dan tidak diarahkan berbuat demikian oleh orang atasannya.
Apabila dipersoalkan mengapa tidak berbuat demikian dan tidak dipanggil sebagai saksi, Hakim Noor Ruwena Md Nurdin mencelah dan berkata soalan itu tidak relevan kepada Mohd Syawaludin.
“Mungkin ada seratus orang mengaku sebagai puterishantek,” katanya.
Apabila disoal lanjut oleh Amer Hamzah, adakah kedua-pemilik akaun itu ialah cybertrooper politik , Mohd Syawaludin menjawab, “tidak tahu.”
Saksi juga tidak pasti sama ada beliau tidak boleh mengecualikan kebarangkalian bahawa mereka adalah cybertrooper politik.
Amer Hamzah: Awak tidak tahu, tidak dapat pastikan bahawa mereka ini cybertrooper sebab awak tak buat siasatan?
Mohd Syawaludin: Setuju.
Amer Hamzah: Adakah mereka cybertrooper MACC (SPRM)?
Mohd. Syawaludin: Tidak pasti.
Amer Hamzah: Jadi ada kemungkinan mereka adalah cybertrooper MACC?
Mohd Syawaludin: Tidak pasti.
Amer Hamzah: MACC ada cybertrooper sendiri?
Mohd Syawaludin: Tidak pasti.
Mohd Syawaludin juga mengesahkan bahawa rakaman itu tidak dihantar ke Unit Forensik SPRM untuk menentusahkan ketulenannya.
Amer Hamzah: Setuju kesemua video telah disunting dan diubah tidak boleh digunakan sebagai bukti?
Mohd Syawaludin: Setuju
Amer Hamzah: Jadi kamu wujudkan SOP (prosedur operasi standard) bahawa tidak boleh guna rakaman yang disunting tapi hari ini kamu guna rakaman yang diaudit? Tahu atau tidak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki keluar kenyataan ini video disunting tidak boleh guna dalam siasatan atau bukti?
Mohd Syawaludin: Tahu
Amer Hamzah: Kamu lebih handal daripada KP (Ketua Pesuruhjaya)?
Mohd Syawaludin: Tidak setuju.
Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden BERSATU, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Muhyiddin juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik BERSATU di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok.


