Oleh Norlizah Abas | Utusan Malaysia


Wan Saiful Wan Jan (kanan sekali) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi permohonan mengetepikan pertuduhan rasuah yang dihadapinya. — UTUSAN/M.FIRDAUS M.JOHARI

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, dua pertuduhan rasuah terhadap Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak berasas kerana tidak menyatakan secara spesifik tarikh kesalahan yang didakwa dilakukannya.

Peguam Amer Hamzah Arshad berhujah, pertuduhan hanya menyebut sekitar bulan tertentu tanpa menyertakan butiran yang lengkap bagi mengaitkan anak guamnya dengan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, pertuduhan terhadap bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak berasas menyebabkan tertuduh dinafikan hak untuk menyediakan pembelaan dan alibi.

Hujah Amer Hamzah, isu berhubung pertuduhan tidak berasas bukan sesuatu yang bersifat pramatang untuk dibangkitkan pada peringkat ini.

Sebaliknya hujah peguam, permohonan boleh dikemukakan pada bila-bila masa sebelum mahkamah membuat keputusan pada akhir kes pendakwaan.

“Pada peringkat ini, kami tidak memohon tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan, namun, mahkamah mempunyai budi bicara untuk meneliti pertuduhan sama ada mematuhi peruntukan di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC),” hujah beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi berhujah, permohonan Wan Saiful pada peringkat ini untuk mengetepikan dua pertuduhan itu adalah pramatang.

Beliau berhujah, pertuduhan terhadap Wan Saiful berlandaskan peruntukan undang-undang yang baik, teratur dan lengkap.

Menurut beliau, pihak pembelaan sudah dibekalkan dengan dokumen yang diperlukan dan ia mencukupi untuk menyediakan pembelaan.

“Setakat ini, saksi-saksi belum memberi keterangan, pertuduhan cukup lengkap bagi tertuduh menyediakan pembelaannya,” hujah Rasyidah Murni.

Hakim Rozina Ayob kemudian menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan permohonan tersebut.

Wan Saiful memfailkan permohonan untuk mengetepikan dua pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dihadapinya atas alasan pertuduhan itu tidak mematuhi Seksyen 154 CPC.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Februari lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan Jana Wibawa.

Pertuduhan pertama, Wan Saiful didakwa meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar bulan April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini.

Pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa menerima RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd.

Rasuah itu didakwa bagi membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut yang bernilai RM232 juta.

Wan Saiful didakwa melakukan perbuatan itu di antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022 di CIMB Bank Cawangan Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Bukit Tunku di sini.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2023/06/pertuduhan-wan-saiful-tidak-berasas-tanpa-butiran-lengkap-peguam/