Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Berita Harian


NSTP

Permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu, akan didengar pada 11 Julai ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu pada sebutan kes itu hari ini.

Terdahulu dalam prosiding itu, peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Tinggi, pihaknya akan mengemukakan hujahan yang panjang dalam permohonan itu kerana ia membabitkan isu baharu.

Muhyidddin yang juga Presiden Bersatu dikecualikan hadir pada prosiding hari ini, turut diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad.

Sementara itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudddin Wan Ladin, dan Ahmad Akram Gharib.

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, ia berikutan tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.


Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1108266/permohonan-muhyiddin-batalkan-4-tuduhan-rasuah-rm2325-juta-11-julai