Oleh Hafiz Ithnin | Harian Metro


Peguam bela kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd memaklumkan bahawa pihaknya sudah menulis surat rasmi kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berhubung beberapa komen awam yang didakwa bersifat prejudis terhadap kes anak guam mereka.

Yusmadi Yusof berkata, surat itu dihantar bagi menarik perhatian pihak peguam negara terhadap kenyataan termasuk dalam podcast, yang dikhuatiri boleh menjejaskan prinsip perbicaraan adil.

“Perkara itu kini berada dalam pertimbangan pihak Peguam Negara.

“Sekiranya perlu, kami tidak teragak-agak untuk menulis susulan atau mengambil tindakan yang wajar apabila komen-komen ini berpotensi memutarbelitkan serta memprejudiskan kedudukan anak guam kami,” katanya selepas prosiding pegurusan kes di sini, hari ini.

Yusmadi berkata, pihak pembelaan hanya mahu kes berkenaan diadili secara adil di mahkamah berdasarkan undang-undang serta keterangan yang relevan dan bukannya dibincangkan di ruang awam yang boleh menimbulkan spekulasi.

Jelasnya, pihaknya turut mengenal pasti beberapa temu bual dan komen yang dibuat dalam podcast tertentu yang menyentuh isu berkaitan kes membabitkan dirinya serta Shamsul Iskandar.

“Kami berharap semua pihak menahan diri daripada mengulas fakta-fakta kes di media.

“Jika ada sebarang bukti atau isu berkaitan, ia wajar dikemukakan di mahkamah melalui proses yang sedia ada, bukan melalui media sosial atau podcast,” katanya.

Tambahnya, sebarang komen tidak wajar bukan sahaja boleh menjejaskan kes individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut, malah berpotensi mengganggu dan memprejudiskan kes anak guamnya walaupun kes-kes berkenaan dibicarakan di mahkamah yang berbeza.

Pada prosiding pagi ini, pihak pembelaan Shamsul Iskandar turut memaklumkan bahawa satu permohonan akan difailkan bagi memindahkan kes yang sedang dihadapi anak guam mereka ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan kewujudan isu undang-undang yang perlu dibangkitkan di peringkat lebih tinggi.

Menurut peguam bela beliau, Datuk Amer Hamzah Arshad, perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah semasa prosiding pengurusan kes yang berlangsung pagi tadi. Pada prosiding sama, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka masih dalam proses menyediakan dokumen-dokumen berkaitan bagi tujuan penyerahan kepada pihak pembelaan.

“Kami menyatakan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mengharapkan dokumen-dokumen tersebut dapat diserahkan dengan kadar segera.

“Sekiranya tidak dapat diserahkan sekali gus, penyerahan secara berperingkat juga boleh diterima supaya kami dapat meneliti dokumen dan keterangan yang ada,” katanya.

Beliau berkata, selepas meneliti pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya, pihak pembelaan akan mempertimbangkan untuk mengemukakan representasi sekiranya terdapat sebarang kelemahan atau isu berbangkit.

Dalam perkembangan sama, pihak pendakwa dan pembela bersetuju agar satu tarikh sebutan atau penyelesaian kes ditetapkan pada 11 Mac ini, sementara menunggu penyerahan penuh dokumen pendakwaan serta pemfailan permohonan berkaitan pemindahan kes.

Terdahulu, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Dia mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Shamsul Iskandar (tengah) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. — FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1308409/peguam-bela-shamsul-iskandar-dakwa-beberapa-komen-awam-bersifat-prejudis