By Free Malaysia Today


Bekas menteri besar Selangor hari ini mengisytiharkan namanya dibersihkan oleh Mahkamah Tinggi yang memutuskan pemberian pampasan kepada bekas kakitangannya tidak menyalahi undang-undang.

Tan Sri Khalid Ibrahim sempat menumbuk rusuk penggantinya kerana mengambil tindakan “secara semberono, bermotifkan politik serta berniat jahat dengan satu tujuan; mencalar imej saya serta pasukan saya.”

“Sejujurnya saya tidak terkejut dengan keputusan mahkamah ini kerana amat yakin saya telah menggunakan proses yang telus dan beretika di dalam transaksi tersebut selaras dengan peruntukan di dalam Enakmen MBI (Menteri Besar Pemerbadanan).

“Saya amat bersyukur keputusan yang dibuat pada hari ini kerana ianya secara langsung telah membersihkan nama saya daripada tuduhan salah laku ketika bertugas sebagai menteri besar,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mahkamah hari ini memutuskan RM2.7 juta yang dibayar kepada 7 kakitangan pejabat Khalid, yang hilang pekerjaan apabila beliau disingkirkan, sah. Mahkamah menolak tuntutan pemulangan wang pampasan oleh Menteri Besar (Pemerbadanan), yang kini diketuai Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Beliau tidak menolak “keghairahan” menteri besar menteruskan tindakan saman tersebut sebagai usaha untuk “menutup kepincangan dan ketirisan” dalam pentadbiran hari ini.

Khalid menyeru rakyat Selangor agar jangan penat menuntut pentadbiran kerajaan negeri yang telus.

Menurut beliau, sikap kerajaan negeri yang berdegil mahu mengambil alih syarikat perkhidmatan air SPLASH pada harga RM2.8 bilion sedangkan nilai ekuiti syarikat hanya RM800 juta menimbulkan banyak persoalan integriti.

“Jika rancangan ini diteruskan rakyat akan menanggung kos yang sangat tinggi dan tidak akan berpeluang untuk memiliki saham syarikat air yang kini telah dimiliki kerajaan negeri.

“Rakyat perlu prihatin atas perbelanjaan yang telah dibuat dan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan dan nilai yang setimpal,” tambahnya.

Khalid meletak jawatan sebagai menteri besar pada 2014 susulan perebutan kuasa dalam PKR dan sekutu.

MBI menyaman 7 orang bekas kakitangan, termasuk setiausaha politik Khalid, Faekah Husin, untuk mendapatkan kembali pemberian wang pampasan itu, atas alasan jumlah yang dibayar melebihi daripada yang sepatutnya diterima.


Source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/31/pampasan-keputusan-mahkamah-bersihkan-nama-saya-kata-khalid-ibrahim/