By Farah Marshita Abdul Patah | Berita Harian


Gambar kenangan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain. — KELUARGA ZULFARHAN OSMAN

Nasib 18 pelajar yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu, akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, esok.

Hakim Datuk Azman Abdullah dijangka menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan terhadap Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Keputusan itu akan turut disampaikan terhadap 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman, dan Mohamad Syazwan.

Pada 30 September lalu, mahkamah selesai mendengar semua hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan kes yang bermula 29 Januari 2018, seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk rebuttal (saksi untuk menyanggah), antaranya bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.

Sementara itu, pada prosiding bela diri yang bermula 2 Oktober 2019, pembelaan mengemukakan seramai 20 saksi iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan; penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni dan semua 18 tertuduh.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif, dan Mohamad Shobirin berdepan tuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM di antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017 dan didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem berdepan pertuduhan bersubahat mengikut seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama dengan 12 lagi turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi, di antara jam 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi.

Pasukan peguam bela terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M. Ramachelam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim, dan Datuk Hazizah Kassim.


Source: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2021/11/882623/nasib-18-pelajar-upnm-ditentukan-esok