Oleh Raja Noraina Raja Rahim | Harian Metro


NAMEWEE, gambar fail. — FOTO NSTP

Salinan kertas pertuduhan menunjukkan pengarah dan penyanyi rap, Namewee, 42, sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 24 Oktober lalu atas dua pertuduhan memiliki serta menggunakan dadah jenis ekstasi dan bahan terlarang lain.

Bagaimanapun, Namewee atau nama sebenar Wee Meng Chee, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibaca secara berasingan di dua mahkamah berasingan ketika prosiding itu berlangsung.

Di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim, lelaki itu didakwa memiliki dadah ekstasi anggaran berat 5.12 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini, pada jam 4.30 petang, 22 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebat tidak kurang tiga hingga sembilan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua di hadapan Majistret S Arunjothy, dia didakwa memberikan diri sendiri dadah amphetamine, methamphetamine, THC dan ketamin di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, jam 7.15 petang pada tarikh sama.

Kes didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Namewee diwakili peguam Joshua Tay.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember depan.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan Namewee ditahan di sebuah hotel di sini, bersama pil ekstasi bulan lalu.

Polis turut dilapor menjalankan siasatan menyeluruh kes kematian pempengaruh wanita Taiwan yang kini diklasifikasikan sebagai bunuh, termasuk kemungkinan menahan Namewee yang menjadi individu terakhir dilihat bersama mangsa.

Mangsa, Hsieh Yun Hsin, 31, ditemukan mati dalam keadaan terbaring dalam tab mandi bilik air sebuah hotel pada jam 1.40 tengah hari, 22 Oktober lalu selepas tiba di negara ini dua hari sebelumnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pada mulanya kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun selepas siasatan ia dibuka semula kepada kes bunuh mengikut 302 Kanun Keseksaan.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2025/11/1283728/namewee-nafi-miliki-dan-guna-dadah-sebutan-semula-kes-ditetapkan-18-disember