Oleh Kasthuri Jeevendran | Malaysia Gazette

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu struktur pentadbiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak membolehkan mana-mana individu, termasuk presiden, mempunyai kawalan mutlak ke atas parti itu.
Keterangan itu diberikan saksi pendakwaan keempat (SP4), Mohd Amin Idris ketika disoal balas peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad dalam perbicaraan berkaitan projek Jana Wibawa membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mohd Amin yang juga Penolong Pendaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkata, badan tertinggi dalam Bersatu ialah Perhimpunan Agung dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Menurutnya, MPT dianggotai sekurang-kurangnya 53 ahli, manakala Perhimpunan Agung merupakan badan tertinggi yang menentukan dasar serta hala tuju parti.
“Tiada seorang individu boleh dikatakan mempunyai kawalan penuh ke atas parti kerana keputusan dibuat secara kolektif oleh badan-badan ini,” katanya di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Beliau turut bersetuju bahawa presiden parti juga tertakluk kepada keputusan Perhimpunan Agung dan MPT.
Dalam keterangannya, Mohd Amin menjelaskan semua urusan kewangan parti dikendalikan oleh bendahari, manakala setiap sumbangan kepada parti disalurkan melalui akaun bank rasmi dan direkodkan dalam penyata kewangan tahunan.
Katanya, penyata tersebut dikemukakan kepada ROS dan boleh diakses oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya diperlukan.
Mohd Amin turut mengesahkan sepanjang tempoh perkhidmatannya di ROS, Bersatu tidak pernah dibatalkan pendaftarannya kerana melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
Muhyiddin ketika ini sedang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan Projek Jana Wibawa, merangkumi empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, beliau yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta seorang individu, Datuk Azman Yusoff.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Bagi pertuduhan tersebut, ia dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Perbicaraan bersambung 16 April ini.
Sumber: https://malaysiagazette.com/2026/04/13/muhyiddin-tak-kawal-bersatu-secara-mutlak-kata-saksi-pendakwaan/. Diarkibkan di https://perma.cc/5AM5-SKRA


