Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Harian Metro


Bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Mohamed Khairuzzaman, berjaya memperoleh perintah penggantungan sementara bagi menghalang Jabatan Imigresen (Imigresen) menghantarnya pulang ke negara asal.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan penggantungan sementara itu sehingga permohonan habeas corpus (penahanan salah) difailkan Mohamed Khairuzzaman bagi mencabar penahanan beliau oleh pihak berkuasa Malaysia, diputuskan Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding hari ini, peguam Edmund Bon yang mewakili Mohamed Khairuzzaman berkata, penangguhan sementara itu perlu dibenarkan kerana terdapat risiko bahawa anak guamnya dihantar pulang pada bila-bila masa sebelum permohonan habeas corpus didengar pada 20 Mei ini.

Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang dinamakan selaku responden.

Pada 10 Februari lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Mohamed Khairuzzaman ditahan pihak berkuasa negara ini, namun tidak mendedahkan maklumat lanjut, selain memaklumkan penahanan itu mengikut prosedur perundangan sedia ada.

Sebelum itu media melaporkan, Mohamed Khairuzzaman didakwa tinggal di negara ini sebagai pelarian dan ditahan ketika berada di rumahnya di Ampang pada 9 Februari lalu serta dijangka dihantar pulang ke Bangladesh.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/02/810523/mohamed-khairuzzaman-berjaya-halang-imigresen